KUANTAN – Tohmahan yang dilemparkan Pas kononnya Kerajaan Negeri Pahang tidak mengutamakan agenda Islam disifatkan satu fitnah dangkal dan tidak berpijak pada realiti.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang, Mohd Kamil Ibrahim berkata, Penubuhan Universiti Al-Quran pertama di Malaysia yang bakal dibangunkan di negeri ini adalah bukti baharu Pahang pelopor sebenar perjuangan Islam di Malaysia.
“Pahang sejak sekian lama sudah menegakkan pendidikan Islam melalui sekolah-sekolah agama, maahad tahfiz, bantuan khas pendidikan Islam serta pelbagai program yang memberi manfaat terus kepada rakyat.
“Bahkan, anak-anak daripada keluarga ahli Pas sendiri turut menikmati nikmat hasil dasar kerajaan negeri yang adil dan menyeluruh ini,” katanya dalam kenyataan.
Tegasnya, kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selaku Menteri Besar sentiasa berpegang teguh pada amanah rakyat dan syariat untuk menjadikan Pahang negeri yang syumul dengan Islam.
Selain itu, Mohd Kamil berkata, pendidikan agama, pembinaan institusi, pembangunan infrastruktur serta bantuan kewangan juga disalurkan tanpa mengira latar belakang politik rakyat.
“Inilah yang membezakan Pahang dengan Pas yang hanya menjadikan Islam sebagai modal politik untuk meraih sokongan dan jawatan.
“Fitnah yang ditaburkan oleh Pas hanya memperlihatkan kelemahan mereka sendiri dalam mengurus negeri di bawah tadbir mereka.
“Rakyat boleh menilai dengan jelas Pahang jauh lebih maju dan berdaya dalam memperkasa pendidikan Islam berbanding negeri yang diperintah Pas,” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette
















