MERSING – Seorang wanita maut akibat tersepit manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan dua kereta di Jalan Jemaluang-Mersing di sini hari ini.
Kemalangan berhampiran Dewi Farm itu berlaku kira-kira pukul 2.30 petang yang mengorbankan mangsa, Aishah Hasan berusia 48 tahun.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba Abdul Muiz Mukhtar berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 2.36 petang.
Susulan itu katanya, 10 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati kemalangan itu melibatkan kereta Toyota Vios bertembung dengan Honda BRV.
“Mangsa maut dipercayai tersepit di tempat duduk penumpang hadapan Toyota Vios yang dinaikinya sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, seorang lagi penumpang Toyota Vios cedera bersama-sama seorang kanak-kanak, manakala lima lagi mangsa yang menaiki Honda BRV turut cedera.
Menurutnya, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Mersing untuk rawatan lanjut manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat kata beliau, tamat sepenuhnya pada pukul 3.24 petang.- MalaysiaGazette
















