ALOR SETAR – Semua wakil rakyat Pas perlu berhenti bertelagah sesama sendiri khususnya dengan kepimpinan negeri dan kembali menjalankan tugas untuk menyantuni rakyat di kawasan yang dimenangi.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, mereka perlu segera menyelesaikan segala masalah yang timbul dan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
“Bagi kawasan yang ada masalah, tak habaq pun orang tahu, ada masalah yang wakil rakyat tak masuk dalam kawasan.
“Perkara ini perlu diselesaikan cepat, jangan bagi ada sudah, di Kedah tak ada, negeri lain tentu ada, masalah dengan Menteri Besar pun ada.
“Berhenti berkelahi, setakat hari ini cukup, fokus ke depan, banyak lagi kerja lain kita nak buat, pi dok kelahi pula,” katanya ketika menggulung ucapan dasar Presiden Pas dalam Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71, di sini, hari ini.
Sanusi berkata, wakil rakyat-wakil rakyat Pas sepatutnya menjadi pemudah cara kepada antara kerajaan dan rakyat, bukannya menghentam pimpinan di belakang.
“Wakil rakyat habaq (cakap) betul-betul, tegur depan-depan, jangan kata belakang, nak kata kat saya pun depan-depanlah.
“Gunakan semua instrumen yang kita ada, bawa mesej ini keluar, jangan dok bawa mesej kita bertembung, ini negeri kecil, berkelahi pula.
“Wakil rakyat perlu bertindak sebagai pemudah cara, pemboleh, atau enabler, dalam usaha memperluas pengaruh Pas dan mengukuhkan kekuatan parti,” katanya.
Menurut Sanusi, sudah sampai masanya wakil rakyat sendiri dan pusat khidmat mereka untuk membawa mesej daripada Pas termasuk tawaran dan kebaikan yang telah dilaksanakannya sejak 71 tahun lalu.
“Bagi kawasan-kawasan yang dimenangi Pas, selain daripada dewan-dewan, struktur Pas sedia ada, kita ada struktur tambahan, enjin tambahan melalui pusat khidmat wakil rakyat dan batang tubuh wakil rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















