KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan pemasangan jambatan Bailey dilakukan segera di Sungai Kaiduan, Papar, Sabah selepas jambatan di kawasan itu runtuh akibat banjir.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, langkah itu penting bagi memastikan hubungan jalan tidak terputus serta mengelakkan gangguan terhadap penduduk setempat.
“Saya telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah bersama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) yang mempunyai kepakaran dalam pembinaan Bailey Bridge supaya segera melaksanakan pemasangan jambatan di kawasan terjejas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebelum ini telah membekalkan tiga unit jambatan keluli bermodular (Bailey Bridge) kepada Kerajaan Negeri Sabah sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi bencana.
Selain itu, katanya, JKR Sabah turut menumpukan usaha baik pulih infrastruktur di Jalan Penampang-Tambunan yang terjejas akibat tanah runtuh.
Antara kerja yang sedang dilakukan termasuk pembersihan runtuhan, penstabilan cerun, pembaikan jalan runtuh serta pembinaan semula jambatan gantung dan tembok penahan cerun.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk tempatan yang menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana di Sabah.
“Antara bantuan yang dihulurkan merangkumi makanan sedia dimakan, barangan keperluan harian, selimut, tilam, bantal serta bantuan logistik lain. Usaha ini membantu meringankan beban mangsa serta melancarkan operasi bantuan di kawasan terjejas,” katanya.
Beliau memaklumkan Ketua Pengarah NADMA bersama Setiausaha Persekutuan Sabah telah turun padang untuk menyelaras pengurusan bencana di negeri itu.
“Saya mendoakan agar semua negeri yang ditimpa musibah banjir segera pulih dan rakyat dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa dalam masa terdekat,” katanya.
Terbaharu, keadaan banjir di Sabah semakin kritikal dengan jumlah mangsa meningkat kepada 863 orang daripada 220 keluarga di enam daerah, termasuk Penampang, Membakut, Beaufort, Tawau, Papar dan Putatan.
Mereka kini ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS). – MalaysiaGazette
















