KUALA LUMPUR – Kenduri Kari Malaysia 68 merupakan salah satu acara utama dalam Festival Citarasa Warisan @ Kuala Lumpur yang berlangsung sempena Festival Budaya Malaysia 2025 di Taman Tasik Titiwangsa.
Program diadakan bagi meraikan sambutan Hari Malaysia ke-68 dengan simbolik angka 68 diterjemahkan melalui hidangan kari sepanjang 68 kaki – sebuah sajian berskala besar yang disediakan secara bergotong-royong oleh hotel ternama, syarikat katering dan penggiat kulinari warisan.
Dalam kenduri itu, pelbagai jenis kari dipersembahkan dan masing-masing mencerminkan khazanah warisan kulinari Malaysia.
Chef Ahmad Nizam dari Zai Sri Gemilang Catering & Event membawakan tiga juadah utama iaitu kari kepala ikan bersama kacang merunggai, parpu daging tetel dan ayam goreng berempah Zai untuk 600 pengunjung.
Menurutnya, kari kepala ikan dengan kacang merunggai salah satu makanan warisan.
“Tidak semua orang Melayu mengenali kacang merunggai kerana ia banyak digunakan dalam masakan India. Apa yang penting, kari boleh diolah dalam pelbagai bentuk dan telah menjadi makanan global,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Nizam berkata, program sebegini wajar diteruskan kerana membuka peluang masyarakat mengenali makanan tradisi yang jarang ditemui dan menjadi sebahagian daripada khazanah warisan bangsa.
Dari Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur, Muhammad Fitri pula mengenegahkan tiga hidangan signatur iaitu Kari Tujuh Lautan, Kari Ayam Kapitan dan dalca sayur.
Menurutnya, Kari Tujuh Lautan menggunakan tujuh jenis makanan laut dimasak dalam satu kuah.
Kari Ayam Kapitan pula lebih berkrim dengan sentuhan gaya Tamu Hotel manakala dalca sayur mesra vegetarian tanpa bahan berasaskan daging, katanya.
Beliau menambah lebih 300 pek telah diagihkan setakat jam 4 petang semalam dan menyifatkan festival itu sangat baik kerana membuka peluang orang ramai mengenali kepelbagaian masakan hotel, selain mengangkat masakan warisan.
Wakil Shah Alam Convention Centre (SACC), Anis pula membawa tiga sajian utama iaitu Kari Pisang Muda, Mi Kari Nyonya dan kuih cara berlauk daging.
Katanya, menu kari adalah sebahagian daripada identiti SACC dan ia juga ruang untuk memperkenalkan makanan tradisi kepada semua kaum termasuk pelancong dari luar negara.
Penyertaan dalam festival ini juga merupakan satu penghargaan besar kepada SACC kerana dapat memperkenalkan syarikat kepada khalayak lebih luas, selain menyokong usaha Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) dalam memelihara khazanah kulinari negara.
Sementara itu, Chef Hasmadi Hassan, Executive Chef dari Royale Chulan Hotel & Resort Malaysia, menampilkan hidangan unik seperti Gulai Daging Umbut Pisang, Gulai Ikan Masin Pisang Muda tanpa santan serta gulai kawah daging umbut pisang.

Menurutnya, pada masa sekarang, gulai umbut pisang memang susah nak jumpa.
“Dahulu, ketika kenduri-kendara, orang kampung akan menebang pokok pisang untuk mengambil umbut dan dimasak bersama daging lembu hasil sembelihan gotong-royong.
“Hidangan ini wajar diketengahkan kerana ia sebahagian daripada sejarah masyarakat Melayu,” katanya.
Beliau menambah Royale Chulan turut mempromosikan gulai kawah daging umbut pisang setiap hari Rabu sebagai sebahagian daripada bufet makan tengah hari.
Menurut beliau, simbolik angka 68 dalam Kenduri Kari kali ini merujuk kepada sambutan Hari Malaysia ke-68.
“Jangan lupa warisan nenek moyang kita. Kalau tidak ada mereka, tidak adalah kita sekarang,” ujarnya.
Beliau menegaskan setiap hidangan adalah cerminan khazanah budaya yang perlu dilestarikan.

Program itu diadakan dengan konsep kenduri rakyat di mana pengunjung boleh merasai sendiri hidangan yang dimasak secara bergotong-royong.
Ia menghidupkan semula tradisi gotong-royong kampung yang menjadi tunjang dalam majlis kenduri dan perayaan sekaligus mengangkat kembali nilai-nilai tradisi dan warisan kulinari rakyat Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada Festival Budaya Malaysia, Kenduri Kari Malaysia 68 bukan sahaja menampilkan sajian warisan malah menjadi tarikan pelancong domestik dan antarabangsa.
Ribuan pengunjung membanjiri Taman Tasik Titiwangsa untuk merasai pengalaman kulinari sepanjang lima hari berakhir hari ini selain menyaksikan persembahan seni budaya tradisional seperti Randai, tarian dan nyanyian serumpun, Mek Mulung dan Dikir Barat serta pameran makanan klasik Malaysia.
Kenduri Kari Malaysia 68 melambangkan usaha kerajaan bersama masyarakat untuk melestarikan makanan warisan sebagai sebahagian daripada identiti kebangsaan.
Ia juga mengangkat semula resipi lama yang kian dilupakan.
Lebih pasti, ia menghubungkan generasi muda dengan budaya nenek moyang melalui medium makanan.
Dengan penganjuran seperti ini, kari bukan sekadar lauk tetapi menjadi simbol penyatuan rakyat Malaysia yang majmuk dan pemeliharaan khazanah warisan kulinari negara. – MalaysiaGazette















