Rohaizad (tengah)menunjukkan rokok seludup yang dirampas pihaknya pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 28.1 juta batang rokok tidak berkastam bernilai lebih RM10.1 juta hasil serbuan berasingan di Selangor dan Perak bulan lalu.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Datuk Rohaizad Ali berkata, serbuan pertama dilakukan di Westports, Pelabuhan Klang, Selangor pada 15 dan 20 Ogos lalu apabila dua buah kontena diperiksa dan ditemukan 25.9 juta batang rokok putih bernilai RM7.7 juta.

Beliau menjelaska, pemilik kontena terbabit membuat pengikraran tidak tepat dalam borang Transhipment (K6) Manifest dengan menyatakan dagangan itu sebagai tuala dan tisu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dagangan (rokok) yang disita itu berasal dari Thailand dan disyaki hendak dieksport ke Kongo.

“Kedua-dua kontena yang terlibat didapati singgah di Pelabuhan Klang bagi aktiviti pindah kapal.

“Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 52(1), Seksyen 52(3) dan Seksyen 52(4) Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan Negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rohaizad berkata serbuan kedua bersama JKDM Perak ke atas sebuah kilang di Taiping pada 29 Ogos lalu membawa kepada penemuan hampir 2.3 juta batang rokok putih dan kretek bernilai RM2.3 juta termasuk cukai.

“Rokok tidak berkastam itu disembunyikan di sebalik aktiviti pengilangan kejuruteraan logam dan perkayuan untuk diedarkan ke pasaran tempatan.

“Kita turut menahan lelaki berusia 50-an yang merupakan pemilik premis itu yang dijadikan stor penyimpanan bagi siasatan lanjut.

“Kes  disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast