JDT tewas kepada Buriram United dalam aksi pembukaan Kumpulan A Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Chang Arena, Bangkok, Thailand, malam tadi.- Foto ihsan Facebook Johor Southern Tigers.

JOHOR BAHRU – Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Joao Figueiredo menyifatkan kekalahan 1-2 kepada Buriram United dalam aksi pembukaan Kumpulan A Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Chang Arena, Bangkok, Thailand, malam tadi sebagai ‘bukan rezeki’ mereka.

Menurutnya, skuad kendalian Xisco Munoz itu sudah melakukan persiapan rapi sebelum ke Thailand termasuk memberikan komitmen tinggi daripada aspek taktikal bagi berdepan skuad kendalian Osmar Loss itu.

“Kami membuat persiapan rapi untuk menghadapi Buriram tetapi sememangnya bukan hari yang baik buat JDT.

“Ya, kami agak kecewa selepas tewas pada aksi pertama saingan ACLE.

“Apa pun, kami perlu segera bangkit kerana perjalanan masih panjang dan banyak lagi perlawanan menanti. Apa jua kelemahan dalam aksi ini akan segera diperbaiki,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Figueiredo turut mengulas mengenai detik malang apabila jaringan awal JDT dibatalkan seawal minit pertama, selain tandukan beliau pada minit ke-60 hanya singgah di palang gol.

“Seperti yang saya katakan tadi, semuanya bukan rezeki saya untuk membantu JDT walaupun berhempas pulas memberikan persembahan terbaik.

“Bagaimanapun, saya tidak kecewa kerana nasib ternyata tidak menyebelahi dalam perlawanan ini,” katanya.

Sementara itu, Figueiredo berkata, kekalahan tersebut diharap dapat dijadikan pengajaran untuk JDT terus berjaya pada masa hadapan.

“Kekalahan ini tidak akan mematahkan semangat kami kerana kami tetap bersatu sebagai satu pasukan dan bukannya mementingkan diri.

“Untuk aksi seterusnya, kami akan menilai semula prestasi dan sudah pasti barisan kejurulatihan akan mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang ada,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast