KUALA LUMPUR – Permintaan tinggi terhadap produk halal di Wilayah Autonomi Hui Ningxia, China membuka peluang besar kepada syarikat-syarikat Malaysia untuk menembusi pasaran berkenaan.
Bendahari ASEAN Chamber of Commerce & Industry (ACCI), Tan Sri Ooi Huat Beng berkata, pihaknya menerima permintaan daripada Ningxia untuk bekerjasama perniagaan kerana potensi pasaran halal yang luas di wilayah majoriti Muslim itu.
“Jadi ada permintaan dari pihak Ningxia untuk anjurkan acara ini supaya kita ada bisnes yang cocok. Mereka mempunyai banyak produk yang boleh kita bantu untuk mendapatkan halal.
“Jadi, dengan sijil halal, produk itu boleh masuk ke pasaran Malaysia dan sekaligus, produk Malaysia kita boleh bawa keluar ke negara lain melalui bisnes seperti ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Huat Beng, kebanyakan penduduk Ningxia beragama Islam sekali gus menyebabkan permintaan terhadap produk berstatus halal amat tinggi.
“Baru-baru ini satu pameran di Ningxia menyaksikan beberapa syarikat Malaysia berjaya mencapai jualan yang sangat besar. Saya berharap melalui program sebegini, kita boleh bawa lebih banyak perusahaan Malaysia ke luar negara melalui ASEAN Chamber,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi acara kali ini berjaya mengundang sekitar 100 pengusaha walaupun hanya diatur dalam tempoh singkat lima hari.
“Dalam tempoh tiga hari sahaja, kita sempat undang sekitar 100 pengusaha. Walaupun berdepan cuti umum dan masa yang terhad, sambutan sangat baik. Dewan penuh sampai ada yang berdiri,” tambahnya.
Sambutan memberangsangkan itu membuktikan potensi besar kerjasama Malaysia–Ningxia dalam memperkukuh perdagangan rentas sempadan, khususnya produk halal.
Acara tersebut berlangsung serentak dengan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2025 sekali gus membuka peluang kepada lebih banyak usahawan halal untuk meneroka pasaran antarabangsa.
Dalam pada itu, kerjasama perdagangan dua hala turut diperkukuh dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara ACCI dan Ningxia Chamber of International Chambers sempena 2025 Ningxia–Malaysia Economic and Trade Cooperation Meeting di sini hari ini.
MoU tersebut menumpukan kerjasama dalam sektor utama termasuk pertanian, produk halal, tenaga boleh diperbaharui, e-dagang dan pelancongan, sekali gus membuka laluan kepada syarikat Malaysia dan ASEAN untuk mengembangkan pasaran di wilayah barat laut China.
Delegasi rasmi Ningxia diketuai oleh Han Zhizhong, Inspektor Tahap Kedua, Jabatan Perdagangan Wilayah Autonomi Hui Ningxia, yang menegaskan komitmen pihaknya untuk memperkukuh hubungan perdagangan dua hala dengan ASEAN, khususnya Malaysia. – MalaysiaGazette
















