Lambang Polis Diraja Malaysia.

KOTA KINABALU – Polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang disyaki terlibat dalam penyebaran video berunsur fitnah di Facebook berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada 13 Sept lepas mengenai penularan video tersebut.

“Video itu didakwa bukan sahaja mengandungi unsur fitnah malah turut mendedahkan identiti kanak-kanak serta menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.

“Susulan laporan itu, polis menahan lelaki tersebut pada 5.40 petang 16 Sept lepas di sini bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata turut dirampas daripada suspek dua telefon bimbit.

Jauteh berkata kes disiasat mengikut Seksyen 203A dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan.

“PDRM memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyebarkan kenyataan berunsur fitnah, mengaibkan atau provokatif,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast