Antara rumah mengalami kerosakan sekitar tinjauan pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Manjung di kawasan yang terjejas ribut di Pantai Remis. Foto APM.

MANJUNG – Hujan lebat dan angin kencang yang melanda kawasan di sekitar Pantai Remis pada sekitar tengah malam Rabu mengakibatkan 18 rumah penduduk dan sebuah masjid mengalami kerosakan.

Kesemua rumah berkenaan berada di kawasan perumahan Taman Nelayan 2, Jalan Pengkalan Baru serta Kampung Cina.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Manjung berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian ribut itu sekitar jam 8.56 pagi melalui aplikasi WhatsApp.

Katanya, cuaca hujan lebat serta angin kencang telah mengakibatkan bumbung dan siling pada 18 rumah penduduk serta Masjid al-Aliah Pantai Remis mengalami kerosakan hingga berlaku kebocoran.

“Susulan itu, seramai empat anggota APM digerakkan ke lokasi menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda bagi membuat pemantauan dan melakukan penilaian kerosakan.

“Pasukan tiba di Masjid Al-Aliah sekitar jam 1.15 tengah hari dan mendapati kerosakan ketara berlaku pada bumbung masjid akibat ribut,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Tambahnya, kebanyakan rumah yang terjejas sedang melalui proses baik pulih segera bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk memandangkan cuaca mendung.

“APM Manjung akan terus mengemaskini laporan dari masa ke semasa bagi memastikan keadaan terkawal,” katanya lagi.

Difahamkan tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam insiden berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast