Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud memeriksa 32 unit kenderaan import pelbagai jenis tidak berkastam bernilai lebih RM8.45 juta disita. Foto JKDM WPKL
Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud memeriksa 32 unit kenderaan import pelbagai jenis tidak berkastam bernilai lebih RM8.45 juta disita. Foto JKDM WPKL

KUALA LUMPUR – Sebanyak 32 unit kenderaan import pelbagai jenis tidak berkastam bernilai lebih RM8.45 juta disita Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang disimpan dalam gudang di Damansara, Selangor dan Setapak, Kuala Lumpur.

Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, kenderaan itu disimpan melebihi tempoh penyimpanan selama 48 bulan di dalam gudang berlesen di dua lokasi berasingan terbabit.

Kesemua kenderaan tersebut dikesan menerusi Op Purple yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula 29 Julai hingga 7 Ogos lalu.

Hasil pemeriksaan awal mendapati, pemilik gudang berlesen telah gagal mematuhi syarat-syarat dalam lesen di bawah Seksyen 65(2) dan Seksyen 65(5) Akta Kastam 1967 dengan menyimpan kenderaan tersebut melebihi tempoh 48 bulan seperti yang ditetapkan.

“Nilai 32 kenderaan yang dirampas dan disita adalah RM3,075,500 manakala anggaran duti import dan cukai berjumlah RM5,376,627 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM8,452,127,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara 32 unit kenderaan import pelbagai jenis tidak berkastam bernilai lebih RM8.45 juta disita Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang disimpan dalam gudang di Damansara, Selangor dan Setapak, Kuala Lumpur. Foto JKDM WPKL

Ujarnya, modus operandi sindiket dikesan menyalahgunakan pengecualian duti yang dibenarkan di bawah Seksyen 4 Akta Kastam 1967 untuk menyimpan kenderaan di gudang tanpa melunaskan cukai dan siasatan masih dijalankan.

Mengulas lanjut, Wan Norizan berkata, sepanjang tahun ini sehingga Ogos, JKDM Wilayah Persesekutuan Kuala Lumpur telah merekodkan sebayak 353 kes dengan nilai rampasan termasuk duti cukai bernilai RM72.12 juta.

“Kes ini antaranya melibatkan rampasan rokok putih dan kretek, minuman keras, besi import, bunga ganja dan dron,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast