Aminolhuda Hassan

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor mencabar Pas mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat jika benar-benar ingin mengetuai Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Parti Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, itu merupakan paling asas dan logik yang perlu berani dilakukan Pas untuk menjadi dominan dalam PN.

Namun Ahli Parlimen Sri Gading itu berkata, sehingga kini, kerusi tersebut masih disandang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Sedangkan kenyataan-kenyataan pemimpin Pas menampakkan hasrat mereka untuk menjadi kuasa utama. Amanah Johor mencabar Pas menamakan calon Ketua Pembangkang dengan segera sekiranya serius mahu memimpin blok pembangkang,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, keraguan melibatkan persefahaman mereka kini semakin ketara apabila kenyataan bercanggah dan strategi berbeza antara pimpinan tertinggi PN dan perkara itu terus terdedah kepada rakyat.

Pas dan Bersatu, ujarnya, sering dilihat tidak sehaluan dalam pengagihan kerusi, hala tuju pentadbiran negeri dan pendekatan politik nasional.

Perkembangan tersebut membuktikan blok berkenaan tidak mempunyai visi bersama yang kukuh.

“Amanah Johor menegaskan rakyat Malaysia khususnya pengundi Johor berhak mengetahui siapa sebenarnya yang memimpin blok pembangkang dan apakah dasar yang mereka bawa.

“Politik mainan kuasa dan perebutan pengaruh tanpa agenda ekonomi serta kebajikan rakyat hanya membazir masa dan menambah kekeliruan,” ujarnya.

Sebagai parti dalam kerajaan Perpaduan, katanya, Amanah akan terus memberi tumpuan kepada isu sebenar rakyat melibatkan kestabilan ekonomi, peluang pekerjaan dan kesejahteraan sosial.

Tegasnya, bukan perebutan jawatan yang memperlihatkan politik gopoh dan tamak kuasa.

Sebelum ini, Bersatu menamakan presiden mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri sekiranya menang pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika berucap dalam Muktamar Pas di Kedah kelmarin menyindir pihak dalam PN yang dipercayai diitujukan kepada Bersatu.

Muhammad Sanusi ketika berucap secara bersahaja menegur parti komponen PN kerana dianggap banyak bergantung kepada jentera parti dan kewangan Pas untuk bertanding dalam pilihan raya.

Dalam ucapan penggulungannya juga sebagai pengarah pilihan raya, Sanusi berkata, ada parti yang datang bertanding syok sahaja dan dibantu oleh Pas.

Mengaitkan keadaan itu dengan sasaran memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang, Muhammad Sanusi berkata, parti terbabit kemudian dilihat mahu menjadi ‘ketua’ namun gagal menyedari realiti kekurangan yang dialami oleh mereka.

Susulan itu semalam, bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri ke-8, Marzuki Mohamad mendedahkan, perbelanjaan PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 semuanya ditanggung oleh Bersatu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast