KUALA NERUS – Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali mahu pemain mengekalkan momentum kemenangan pada perlawanan Liga Super menentang Melaka FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam esok.
Badrul Afzan yang juga bekas pemain tengah Terengganu berkata anak buahnya telah mempamer aksi terbaik pada perlawanan menentang Imigresen FC pada Sabtu lepas, sekali gus layak ke peringkat suku akhir Piala FA.
Justeru, beliau menuntut agar skuad Penyu mengekalkan konsistensi dan disiplin tinggi bagi memastikan tiga mata penuh menjadi milik pasukan tuan rumah.
“Saya berharap pemain-pemain dapat mengekalkan konsistensi dan kekal cergas untuk berdepan Melaka FC di tempat sendiri malam esok.
“Dalam tempoh seminggu ini, kami lebih fokus kepada aspek membaiki penyudah kerana kami banyak memperoleh peluang tetapi gagal disempurnakan dengan baik oleh pemain,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Badrul Afzan turut mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang rendah keupayaan pendatang baharu Melaka FC yang dilihat memiliki barisan pemain berjiwa kental dan mentaliti yang kuat.
Beliau berkata walaupun belum berjaya mencipta sebarang kemenangan, skuad K. Devan itu tampil konsisten untuk mencatat keputusan seri dalam tiga perlawanan menentang PDRM FC, Sabah FC dan Penang FC.
“Semua pemain termasuk penyerang import Yann Mabella berada dalam keadaan baik dan boleh diturunkan malam esok.
“Saya berharap peminat dapat hadir memberikan sokongan kepada skuad Penyu untuk meraih tiga mata, sekali gus mengekalkan kedudukan di tiga teratas liga,” katanya.- BERNAMA
















