Khadijah Abu Bakar

MELAKA – “Masa kami cuba bantu arwah, memang bau gas (aircond) kuat sangat dalam kereta selepas orang kampung ternampak kereta arwah diparkir di situ sejak jam 9 malam tadi,”.

Itu diceritakan Khadijah Abu Bakar, 37, anak saudara kepada Zabanah Abu Hussin, 57, yang ditemukan meninggal dunia bersama anaknya, Intan Nur Shafiqah Othman, 25.

Dua beranak itu dipercayai lemas akibat kebocoran gas pendingin hawa kereta ketika sedang berhenti berehat di Jalan Solok Hilir, Paya Rumput, Cheng, di sini tengah malam tadi.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/09/18/dua-beranak-maut-dipercayai-terhidu-gas-bocor-dalam-kereta/

Menurut Khadijah sebaik sampai di sana, dia dan seorang lagi anak ibu saudaranya itu cuba memberi bantuan pernafasan resusitasi kardiopulmonari (CPR) namun mereka telah meninggal dunia.

Zabanah Abu Hussin, 57, (kanan) yang ditemukan meninggal dunia bersama anaknya, Intan Nur Shafiqah Othman, 25 dipercayai akibat terhidu gas pendingin hawa kereta yang bocor.

“Arwah sebelum ini ada beritahu kereta tersebut mempunyai masalah dan baru siap dibaiki semalam tapi tak sangka pula ianya berakhir dengan tragedi ini.

“Sebelum kejadian, mereka yang bekerja di sebuah kedai makan di Cheng dalam perjalanan ke rumah saya di Kampung Paya Rumput sebelum pulang ke kediaman di Taman Kelemak Jaya, Alor Gajah,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka di sini, hari ini.

Menurut Khadijah, arwah dan anaknya itu bekerja di kedai makan saudaranya dari jam 7 pagi sehingga 6 petang dan telah menjadi rutin untuk singgah ke rumahnya dan berehat kebiasannnya sehingga jam 10 malam.

“Malam tadi kami dah siap masak tapi arwah tak sampai-sampai membuatkan kami berasa pelik dan cuba menghubungi sebanyak 20 kali namun tidak berjawab.

“Pada jam 11 malam barulah abang saya telefon beritahu terlihat dua beranak itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang diparkir di tepi jalan kira-kira 50 meter dari rumah saya,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast