KUALA LUMPUR – Selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 54 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM20.3 juta, seorang bekas akauntan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) kali ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 40 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3.8 juta.
Mohd Khushairi Osman, 54, mengaku tidak bersalah selepas 40 pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus pada prosiding hari ini.
Lelaki itu berdepan 15 pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM2,694,339.78 daripada akaun simpanan milik dua individu serta beberapa syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh di sebuah bank di Taman Tun Dr Ismail, dekat sini, antara tahun 2020 hingga 2024.
Dia turut didakwa atas 25 pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1,128,173.80 daripada akaun bank simpanan miliknya kepada akaun bank beberapa syarikat dan individu antaranya GISB Travel and Tours Sdn Bhd, GISB Holdings Sdn Bhd dan GISB Mart Sdn Bhd pada lokasi dan masa sama.
Kesemua pertuduhan dilakukan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Sangari Ponnan menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri ke Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman sebulan sekali sehingga kes selesai.
“Pendakwaan juga memohon perintah agar tertuduh tidak mengganggu saksi serta melaporkan kepada pihak kami sekiranya terdapat perubahan alamat,” katanya.
Peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili Mohd Khushairi memohon mahkamah mengguna pakai jaminan RM25,000 yang sebelum ini diberikan kepada tertuduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas alasan kes akan dipindahkan ke mahkamah itu untuk dibicarakan bersama.
“Anak guam kini tidak mempunyai pekerjaan tetap, hanya sekali sekala berpeluang berniaga di pasar malam. Kesemua akaun banknya termasuk milik ahli keluarga telah dibekukan,” kata peguam itu.
Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 untuk kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan dan menetapkan 13 Nov ini untuk sebutan semula kes.
Pada 10 Sept lepas, Mohd Khushairi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 54 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM20.3 juta.- BERNAMA
















