Tangkap layar rakaman CCTV menerusi hantaran pengguna Facebook Irsyad Fahmi kejadian cubaan rompak di Kuantan awal pagi tadi

KUANTAN – Dua individu sempat berbincang beberapa minit sebelum cuba merompak sebuah kedai serbaneka 24 jam dipercayai di Bandar Indera Mahkota 16 di sini awal pagi tadi.

Berdasarkan dua klip video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dikongsi seorang pegguna akaun Facebook, Irsyad Fahmi, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi.

Dalam satu klip video berdurasi dua minit itu, kedua-dua individu yang memakai pakaian gelap dan berpelitup muka dilihat mundar-mundir sambil meninjau kedai serbaneka itu dari luar kedai di sebelahnya.

Namun kedua-duanya kemudian dilihat bertempiaran lari kira-kira lima minit kemudian sambil kedengaran suara seorang individu menjerit meminta pertolongan dipercayai pekerja kedai terbabit.

“Nasiblah pekerja syif itu orang lelaki, kalau perempuan tak tahulah apa akan terjadi. Pekerja kedai selamat cuma masih trauma dengan kejadian itu,” katanya dalam hantaran tersebut.

Difahamkan, kedua-dua individu yang cuba merompak itu masing-masing melarikan diri menaiki dua buah motosikal jenis Yamaha Y15 dan Y16. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast