SHAH ALAM – Penjawat awam di negeri Selangor diseru tidak terikut-ikut dengan kehendak memiliki atau membeli barangan di luar kemampuan kewangan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata setiap orang perlu bijak menilai kemampuan diri sendiri supaya tidak terperangkap dengan bebanan hutang.

“(Program seperti ini bagus) Untuk (didik) kita menjadi lebih independent (mandiri) dalam menguruskan kewangan kita dan mempunyai kebebasan, (bahawa) tahu kapasiti (kemampuan diri) bila kita berhutang.

“Bila kita hidup dengan alatan tertentu bukan kerana trend, tular atau viral atau terikut-ikut tapi kerana tahu kemampuan (mendapatkannya). Itu perkara asas yang saya percaya perlu ada,” katanya ketika berucap di Program Literasi Kewangan Kepada Penjawat Awam Negeri Selangor.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Program anjuran Jabatan Insolvensi Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) itu, menyasarkan kakitangan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berkaitan literasi kewangan.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata program seperti itu memberi pengetahuan tentang pengurusan kewangan yang bijak dan agensi yang boleh dijadikan rujukan.

“Saya percaya dengan pengetahuan anda boleh mempertimbangkan dengan lebih baik, mengetahui agensi yang mampu membantu menguruskan tahap kemampuan kewangan seterusnya menyebarkan kepada masyarakat agar tidak terperangkap dengan bebanan masalah kewangan,” tambah beliau.

Sebagai rekod, program berkenaan merupakan siri kedua jelajah Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) bagi Tahun 2025 selepas program perdana literasi kewangan peringkat IPTA/IPTS pada 23 Jun lalu di UiTM Kampus Shah Alam.-MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast