Penganjuran yang sudah memasuki tahun keenam itu dijangka memberi limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan, khususnya pengusaha makanan, aksesori motosikal, pakaian serta inap desa dan hotel bajet sekitar Seberang Perai.

TASEK GELUGOR – Lebih 30,000 pengunjung dijangka membanjiri Festival Motosikal Y15, Y16 dan LC135 yang bakal berlangsung di Midtown Perda, Kubang Menerong di sini, pada 26 dan 27 September ini.

Penganjuran yang sudah memasuki tahun keenam itu akan menghimpunkan lebih 20,000 jentera dari seluruh negara, khususnya model Y15, Y16 dan LC135, namun tetap terbuka kepada semua pemilik motosikal.

Festival ini bakal dirasmikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Menurut penganjurnya, Ku Muhamad Nazri Ku Mat, pihaknya menjangkakan sambutan luar biasa kali ini selepas rekod penganjuran lalu menarik kehadiran peminat dua roda dari dalam dan luar negara.

“Sasaran kami lebih 30,000 pengunjung sepanjang dua hari. Festival ini bukan sekadar perhimpunan motosikal, tetapi medan mengukuhkan silaturahim komuniti peminat dua roda.

Ku Muhamad Nazri.

“Kami juga memberi jaminan aspek keselamatan menjadi keutamaan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sudah meluluskan permit tanpa halangan.

“Pihak polis menegaskan tiada kompromi terhadap perlumbaan haram dan peserta semua diingatkan mematuhi semua peraturan jalan raya,” katanya kepada pemberita.

Tambah beliau, pihaknya juga sedang mempergiatkan kempen keselamatan jalan raya melalui media sosial agar festival ini mencatatkan sifar kemalangan dan sifar kematian.

“Selain itu, penganjuran festival ini juga dijangka memberi limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan, khususnya pengusaha makanan, aksesori motosikal, pakaian serta inap desa dan hotel bajet sekitar Seberang Perai yang menerima tempahan penuh sejak awal bulan ini.

“Selain aktiviti utama, festival juga menampilkan persembahan artis popular seperti Usop Mentor, Apek Tajuddin dan pelawak Achey Bocey.

“Hadiah cabutan bertuah termasuk dua motosikal elektrik, dua Yamaha LC V8 dan sebuah kereta Mercedes A250 turut menanti pengunjung bertuah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast