Soh Thian Lai (duduk) bersama Jamil selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah Badan Penyelarasan TVET Kerajaan-Industri (GITC) semalam.

KUALA LUMPUR – Isu dasar dengan keperluan industri bagi memastikan program kerajaan digubal dengan input yang kukuh antara perbincangan Mesyuarat Lembaga Pengarah Badan Penyelarasan TVET Kerajaan-Industri (GITC) di sini semalam.

Mesyuarat tersebut turut menghimpunkan pemimpin kanan daripada kementerian, persatuan industri dan institusi pendidikan bagi membincangkan langkah strategik memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Mesyuarat yang diketuai Pengerusi GITC yang juga Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai itu juga memfokuskan kesiapsiagaan tenaga kerja bagi memperluas program perantis, pembelajaran berasaskan kerja dan penempatan graduan bagi meningkatkan kebolehpasaran.

Selain itu, soal pengiktirafan sijil industri dengan menggalakkan penerimaan meluas terhadap kelayakan berasaskan industri dan laluan profesional turut dibincangkan.

Selain itu, perlunya penanda aras global memperkukuh kerjasama antarabangsa untuk menjadikan Malaysia hab serantau bagi bakat berkemahiran juga diketengahkan dalam perbincangan itu, kata GITC dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Thian Lai, kerajaan telah memberi mandat kepada GITC sebagai suara utama industri dalam membentuk agenda TVET negara.

“Peranan ini amat penting untuk memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar mencerminkan keperluan sebenar industri serta memberi impak kepada perniagaan dan ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GITC, Ts. Br. Jamil Bakri pula menegaskan, mandat tersebut bukan sekadar penyelarasan sebaliknya adalah sebuah transformasi.

“GITC hadir untuk mengubah persepsi, meningkatkan standard dan membuka peluang baharu. TVET perlu dilihat sebagai laluan utama pilihan, melahirkan graduan yang bukan sahaja boleh bekerja malah bersedia menghadapi cabaran industri dan kompetitif di pentas global,” jelasnya.

Mesyuarat itu turut mengukuhkan komitmen GITC untuk menjadikan TVET sebagai pemacu strategik kemajuan ekonomi negara sekali gus menyediakan laluan kerjaya bermakna kepada belia Malaysia.

GITC berperanan sebagai platform penyelaras nasional bagi merapatkan kerjasama kerajaan, industri dan penyedia latihan dalam usaha memacu transformasi TVET.

Misinya memastikan program TVET dipacu industri, berdaya saing global dan selari dengan aspirasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi serta berkemahiran tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast