KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani gagal melangkah ke separuh akhir Masters China 2025 selepas tewas di tangan pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri, hari ini.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Shenzhen Arena, Sze Fei-Nur Izzuddin yang menduduki ranking ketiga dunia gagal memberi saingan kepada lawan mereka yang berada di ranking ke-76 dunia.
Mereka tewas straight set 16-21, 11-21 dalam tempoh hanya 34 minit yang menyaksikan rekod pertemuan antara kedua-dua pasangan kini terikat 1-1 selepas Sze Fei-Nur Izzuddin mencatat kemenangan ke atas Fajar-Fikri di suku akhir Terbuka Jepun, pada Julai lalu.
Kekalahan itu mengulangi juga persembahan hambar pasangan beregu itu yang dilihat mempamerkan prestasi yang tidak konsisten sepanjang musim ini.
Pada edisi lalu, perjalanan Sze Fei-Nur Izzuddin terkandas di suku akhir apabila tewas di tangan gandingan Indonesia Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 21-18, 19-21, 23-21.
Pada awal musim, mereka berjaya muncul juara Terbuka India pada Januari sebelum prestasi mereka tidak begitu konsisten sebelum muncul naib juara di Terbuka Jepun.
Selepas Terbuka Jepun, Sze Fei-Nur Izzuddin terkandas di pusingan pertama Terbuka China, pusingan kedua Kejohanan Dunia di Paris dan di Terbuka Hong Kong, minggu lalu. – MalaysiaGazette















