Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berucap pada Istiadat Konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) ke 20 Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Bangi Avenue, Kajang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 20 SEPTEMBER 2025

BANGI – Isu membabitkan jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou dengan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) diharap dapat diselesaikan hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh  mempunyai program bersama MPM hari ini dan berharap perkara berkenaan dapat ditamatkan segera.

“Hari ini saya ada program bersama MPM. Saya berharap kita dapat put this matter to rest,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Istiadat Konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia & Sukan (ILKBS) ke-20 di sini hari ini.

Menurut Hannah, isu berkenaan sebenarnya berpunca daripada ganjaran yang dijanjikan namun apabila MPM bertindak balas dengan cadangan mengeluarkan surat tunjuk sebab atau penggantungan, ia menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia.

“Mereka (rakyat) melihat Liek Hou ialah seorang atlet yang telah mengharumkan nama negara dan tidak sepatutnya dilayan begini. Beliau hanya menuntut apa yang dijanjikan sebelum berangkat ke Paris,” tambahnya.

Hal ini kerana tanpa atlet, kewujudan badan sukan seperti MPM, Majlis Sukan Negara (MSN) mahupun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak membawa makna.

Hannah menegaskan, isu itu bukan masalah disiplin dan tidak wajar dikaitkan dengan tindakan penggantungan terhadap Liek Hou kerana beliau tidak melakukan kesalahan jenayah, salah laku atau ponteng latihan.

“Langkah penambahbaikan perlu dilakukan dengan mencontohi amalan Road to Gold (RTG) yang memastikan semua tawaran ganjaran kepada atlet disokong kontrak sebelum mereka berangkat menyertai kejohanan.

“Kalau ada janji, tunaikan. Kalau tidak dapat ditunaikan, nyatakan sebab dan cari jalan memperbaiki. Tidak perlu sampai mengugut mahu menggantung atlet,” tambahnya.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM,) Tan Sri Azam Baki kelemahan tatakelola dan ketidaktelusan menjadi punca polemik isu membabitkan jaguh badminton para negara Liek Hou.

Hannah sebelum ini turut menegur tindakan MPM yang dianggap tidak wajar terhadap pemenang emas paralimpik dua kali itu.

Kontroversi tercetus selepas Liek Hou melabel MPM sebagai scam berikutan kelewatan menyalurkan ganjaran RM60,000 yang didakwa dijanjikan kepadanya selepas kejayaan di Paris tahun lalu.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin bagaimanapun menjelaskan, pihaknya tidak mengetahui sumber tuntutan berjumlah RM60,000 itu sebaliknya hanya menyalurkan insentif rasmi iaitu RM25,000 untuk emas, RM15,000 bagi perak dan RM8,000 bagi gangsa yang dibayar semalam.

Beliau turut memaklumkan Liek Hou akan diberikan surat tunjuk sebab dan tidak menolak kemungkinan tindakan undang-undang atau penggantungan dikenakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast