BUTTERWORTH – Seorang jurujual kereta direman empat hari selepas dipercayai merancang dan mengupah dua lelaki bagi samun wang tunai lebih RM60,000 dalam milikannya di Jalan Kampung Gajah di sini Rabu lalu.
Dua lelaki yang diupah masing-masing bekerja sebagai pemandu lori dan pengawal keselamatan itu turut direman tempoh sama bagi membantu siasatan lanjut polis.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga lelaki sehingga 23 September itu dikeluarkan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal di Mahkamah Bukit Mertajam hari ini.
Terdahulu, ketiga-tiga suspek yang berlokap tiba di pekarangan mahkamah pukul 9.35 pagi dengan diiringi pihak polis.
Difahamkan, pengadu yang juga suspek utama berusia 42 tahun itu membuat laporan konon dia disamun dua lelaki menunggan motosikal sehingga kerugian lebih RM60,000.
Bagaimanapun, hasil siasatan selepas tangkapan dua lelaki di Sungai Petani, Kedah semalam membongkar bahawa pengadu sendiri mengupah mereka dengan bayaran RM3,000 untuk melakukan samun berkenaan.
Kedua-dua suspek berusia 33 dan 38 tahun itu mengaku terlibat dalam perancangan tersebut namun mendakwa sehingga kini mereka masih belum menerima bayaran dijanjikan.
Siasatan lanjut juga mendapati, suspek utama itu mengaku telah membelanjakan wang milik pelanggannya bagi kegunaan peribadi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan. – MalaysiaGazette
















