KUALA LUMPUR – Pementasan teater Cik Ros yang bermula semalam sarat dengan emosi.
Ia membawa penonton menyelami perjalanan seni dan legasi Allahyarhamah Dr. Rosminah Mohd Tahir hingga meninggalkan kesan mendalam.
Bagi pelajar teater, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Norman Eddy dari Melaka, pengalaman menonton teater itu menjadi titik tolak untuknya lebih menghargai dunia teater.

“Ini kali pertama saya menonton pementasan teater berskala besar. Pada mulanya, saya hanya menyertai bidang ini kerana arwah ibu yang menyuruh.
“Tetapi selepas menonton Teater Cik Ros, saya sedar bukan sia-sia. Ia medium untuk berkongsi cerita dan pengalaman hidup dengan masyarakat,” katanya.

Tambah Norman, lakonan para pelakon menusuk jiwa dan membuatkan penonton merenung kembali erti kehidupan.

Sebahagian barisan pelakon membuat persembahan ketika pementasan kisah Dr. Rosminah Tahir (Cik Ros) di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 19 September 2025“Kalau nak masuk teater, masuklah dengan hati. Jangan fikir soal duit atau glamor. Yang penting, kita ikhlas dan benar-benar merasai teater itu dalam jiwa,” ujarnya.
Sementara itu, aktivis teater, Mohd Nazrul Md Yasin menyifatkan Teater Cik Ros satu penghargaan besar kepada Allahyarhamah Dr. Rosminah Tahir yang banyak berjasa dalam bidang seni.

“Mungkin saya tidak berkesempatan bekerja dengan arwah tetapi melalui lakonan malam ini, jelas beliau seorang ikon, boleh menjadi guru, ibu, dan insan yang ‘memanusiakan manusia’ melalui teater.
“Itulah kekuatan arwah,” katanya.
Tegas Mohd Nazrul, teater bukan sekadar lakonan di pentas sebaliknya cerminan kehidupan seharian yang diadaptasi untuk renungan masyarakat.

“Teater bukan sesuatu yang sia-sia. Apa yang dipelajari dalam bidang ini adalah kehidupan kita sendiri cuma dipersembahkan semula di pentas,” tambahnya.
Bagi penonton, Khairul Fitri Sharif pula, pementasan itu memberi peluang kepadanya dan keluarga mengenali lebih dekat sosok Dr. Rosminah.

“Sebelum ini, saya tidak begitu mengenali siapa beliau tetapi melalui teater ini, saya dan anak-anak dapat memahami perjuangan serta sumbangan besar beliau dalam dunia seni tanah air,” katanya yang hadir bersama keluarga.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan teater sebagai hiburan ‘hidup’ yang berbeza daripada menonton filem di pawagam kerana dipersembahkan sekali gus menjadikannya lebih mengujakan.
Sselain itu Khairul berharap ia dipromosikan dengan lebih meluas agar anak muda lebih dekat dengan dunia seni pentas.

Naskhah Teater Cik Ros dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dari 19 hingga 21 September ini sebagai wadah penghormatan kepada Allahyarhamah, tokoh besar dunia seni tanah air.
Karya arahan adik allahyarhamah, Hamzah Tahir dengan olahan Sty Mat Desa itu diinspirasikan daripada pengalaman rakan sekerja, pelakon, tenaga produksi serta bekas pelajarnya sekali gus menyingkap bukan sahaja sisi profesional tetapi juga sisi peribadi arwah yang jarang diketahui umum.

Pementasan turut memuatkan keratan akhbar, dokumentasi serta catatan aktiviti seni arwah sebagai rujukan generasi baharu, selain mengangkat semula memori teater ikonik Lantai T Pinkie yang membuktikan pengaruh besar allahyarhamah dalam dunia teater.

Allahyarhamah yang meninggal dunia pada 19 Mei tahun lalu di usia 65 tahun pernah dilantik sebagai Ketua Jabatan Teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA) dan mengarah pelbagai karya besar termasuk Di Bawah Lindungan Kaabah; Muzikal Tun Mahathir; Muzikal Lantai T Pinkie; Muzikal Ibu Zain; Nyonya; Li Po; Mak Dara Nyonya dan Anugerah.

Antara barisan pelakon yang menjayakan Cik Ros ialah Amy Mastura; Datuk Ahmad Tarmimi Siregar; Datuk Ziela Jalil; Liza Abdullah; Sharul Mizad; Juhara Ayob; Rosli Rahman Adam; Zaifri Husin; Zera Hariz; Serra Kamal; Faysal Saad; Lim Mei Fen, Erman Ghazali dan Pavy Raj. – MalaysiaGazette
















