Zahid parti
Gulam Muszaffar Gulam Mustakim

KUALA LUMPUR – UMNO Wilayah Persekutuan mencadangkan Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu.

Ketua Penerangannya, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, beliau juga mencadangkan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Bidin dilantik sebagai Senator.

“Ini masalah kita bila dapat pemimpin yang bukan dari Wilayah Persekutuan sendiri, Supol (Setiausaha Politik) (Nor Azrina Surip) dari Kedah, Menteri (Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa) pula dari Johor.

“Saya ingin cadangkan YB Datuk Fahmi Fadzil menjadi Menteri Wilayah Persekutuan atau naikkan Datuk Azman Bidin Supol PMX sebagai Senator yang merupakan anak jati Wilayah Persekutuan.

“(Ia boleh dilakukan) bila rombakan Kabinet berlaku pada hujung tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan UMNO Bahagian Batu memutuskan hubungan politik dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Parlimen Batu dan Wilayah Persekutuan susulan isu pelantikan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).

Gulam Muszaffar berkata, langkah itu dibuat bagi mempertahankan hak seperti termaktub dalam pekeliling rasmi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikeluarkan Dr Zaliha sebelum ini.

Sementara itu, Gulam Muszaffar membidas Setiausaha Politik kepada Dr Zaliha itu kerana tidak pernah mempedulikan tentang UMNO di Wilayah Persekutuan hingga menokok-tambah namanya.

“Sama saya yang disebut di dalam kenyataan adalah salah, sejak bila ayah dan ibu saya memberi nama muszaffar “shah”.

“Ini menunjukkan kualiti Setiausaha Politik Yang Berhormat Menteri WP. Hentam kromo aje dan ini bukti dia sendiri tidak pernah ambil peduli tentang UMNO bila nama pemimpin pun salah disebut,” katanya.

Selain itu, Gulam Muszaffar juga berang apabila Setiausaha Politik kepada Dr Zaliha mengatakan keputusan UMNO Bahagian Batu itu merupakan perjuangan yang bersifat individu.

“Wahai Supol, di sini saya serta akaun FB saya atas nama “Gulam Muszaffar” dan Tiktok “Guzzu16” mohon lihat sendiri bagaimana dan bukti saya dan UMNO Batu menyantuni masyarakat dan komuniti setempat sejak 2013.

“Malah saya sendiri telah menjadi Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Pangsa PKNS Jalan Kuching sejak berusia 23 sehingga kini,” katanya.

Menurutnya, Setiasaha Politik kepada Dr Zaliha tidak membuat ulang kaji kerana kerja-kerja kebajikan, kemasyarakatan UMNO Bahagian Batu jauh lebih baik daripada Ahli Parlimen PH atau mana-mana pemimpin PKR.

“Malah Ahli MPP Batu yang sedia ada sesi 2024/2025 penuh dengan masalah dan mendapat aduan kerana tidak menyantuni langsung masyarakat setempat,” katanya.

Selain itu, katanya, tindakan mengalihkan isu pengurusan bazar Ramadan dengan perkara pokok kuota MPP menunjukkan tahap mentaliti Setiausaha Politik kepada Dr Zaliha.

“Sebenarnya ia tiada kena-mengena kerana sudah tidak ada jawapan untuk menegakkan benang yang basah.

“Menterinya sendiri melanggar prinsip dan janji berhubung kuota MPP yang telah dipersetujui ketika perjumpaan di antara kami berempat (Datuk Rizalman Supol DS Jo Ghani, Datuk Tengku Azman KB Bukit Bintang, Sdra Razak KB Kepong dan saya sendiri).

“Adakah anda masih ingat Supol? Mungkin Supol tersinggung kerana “counter offer” melalui SUP Datuk Rizalman kepada saya selepas keputusan memutuskan kerjasama politik dengan PH Batu dan WP.

“Saya menolak terus jawatan MPPWP selepas beliau dan menterinya mengakui kesilapan berhubung kuota MPP Batu,” katanya.

Katanya, UMNO Batu masih lagi boleh berdikari tanpa kerjasama daripada Menteri di Jabatan Perdaan Menteri (Wilayah Persekutuan), malah mereka bergerak sendiri sepanjang dua tahun lalu.

“Wahai Supol, bukan nak mengungkit tetapi saya nak maklumkan pada pemilihan PKR Cabang Batu lepas, UMNO Batu sahabat politik yang telah memberi kemudahan menggunakan dewan UMNO.

“Malah lojistik juga secara percuma untuk majlis pengenalan calon PKR Batu, saudara Asheeq Ali dan barisannya yang kini menjadi Ketua Cabang.

“Seterusnya menjemput secara terhormat seluruh kepimpinan PKR Cabang Batu yang baharu ke Persidangan UMNO Bahagian Batu. Ini cara UMNO Batu berkawan. Ikhlas dan jujur,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast