Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani menunjukkan kesungguhan dalam memerangi rasuah apabila 20 pegawai Jabatan Imigresen terlibat dalam skandal rasuah ‘counter-setting’ telah dipecat, manakala 227 individu lain sedang disiasat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memuji ketegasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha membanteras amalan jijik itu yang sekian lama menjejaskan integriti perkhidmatan awam.

Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP menegaskan, kerajaan Madani komited melaksanakan reformasi serta terus memerangi rasuah bagi melindungi wang rakyat yang diperoleh dengan susah payah.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar telah menekankan bahawa hanya dalam tempoh setahun yang lalu, kerajaan Madani melalui langkah-langkah anti-rasuah telah merampas aset haram bernilai lebih RM5 bilion.

“Ini bukan sahaja memulihkan wang rakyat, tetapi juga memberi isyarat kuat kepada dunia bahawa kerajaan kita tegas dan tidak berkompromi dalam memerangi rasuah. Usaha sebegini akan membantu meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Akta Perolehan Kerajaan 2025 yang diluluskan dalam sidang Parlimen baru-baru ini bagi menghapuskan budaya pembelian melampau pada era pentadbiran lalu, mencerminkan komitmen teguh kerajaan terhadap reformasi dan integriti.

“Bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan awam, Parlimen juga telah meluluskan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 yang bertujuan mengurangkan kerenah birokrasi sehingga 25 peratus. Reformasi besar ini akan membantu memotong birokrasi dan membawa manfaat nyata kepada ekonomi pasaran dan rakyat,” ujarnya.

Menurutnya, dengan pembaharuan dan ketegasan yang ditunjukkan, kerajaan MADANI yakin Malaysia mampu memperbaiki kedudukan CPI dan mencapai matlamat menjadi antara 30 negara paling rendah rasuah di dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast