KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini mengaktifkan alat pengesan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti kenaikan paras bahaya air sungai di Lembah Kelang sebagai persediaan menghadapi fenomena La Nina.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif berkata, maklumat mengenai kenaikan mendadak air akan disalurkan kepada Kuala Lumpur Command & Control Centre (KLCCC).
“Apabila alat itu mengesan paras bahaya, maklumat itu akan disampaikan terus kepada jurutera bertugas yang mengendalikan sebuah aplikasi khas pengurusan bandar.
“Pasukan kami sentiasa bersiap siaga 24 jam setiap hari bagi menghadapi banjir ekoran fenomena La Nina,” ujar beliau ketika ditanya persiapan agensi itu menghadapi perubahan cuaca akibat perubahan corak taburan hujan negara.
Pusat Iklim Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, terdapat kemungkinan La Nina berlaku dalam tempoh singkat pada awal tahun depan sebelum pola cuaca kembali normal.
Menurut kenyataan itu, tinjauan cuaca jangka panjang bagi September 2025 hingga Februari 2026 menunjukkan majoriti model iklim antarabangsa meramalkan keadaan El-Nino Southern Oscillation (ENSO) ketika ini berada pada tahap neutral dengan kebarangkalian 56 peratus berterusan sehingga Oktober depan.
Maimunah ditemui wakil media selepas Majlis Pelancaran Zon Sifar Sisa Wilayah Persekutuan di Pusat Penjaja Jalan Raja Muda Abdul Aziz (TPCA), Kampung Baru di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, DBKL mempunyai pasukan petugas khas yang melaksanakan tatacara pengendalian standard (SOP) secara dalaman bagi menangani bencana.
Ujarnya, beliau telah mengarahkan semua jawatan kuasa daerah untuk menjalankan simulasi antaranya simulasi tanah runtuh bagi melihat kelancarannya.
Selain itu, katanya, pihak agensi turut mengenal pasti agar kemudahan pam berfungsi dengan baik selain membersihkan kolam takungan air.
“DBKL akan memastikan kolam takungan didalamkan dan longkang dibersihkan dengan kerjasama Alam Flora supaya tidak tersumbat,” ujarnya.
Selain itu, Maimunah menjelaskan, agensi itu turut melaksanakan kajian terhadap lebih 130,000 pokok di sekitar ibu negara dengan 40,000 daripadanya yang berada di sepanjang jalan dibersihkan melalui proses pemangkasan pokok bagi mengelak insiden pokok tumbang.
Ujarnya, kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi projek mitigasi banjir di Kuala Lumpur pada tahun lalu manakala sebanyak RM60 juta diperuntukkan bagi projek sama yang berada di peringkat pelaksanaan. – MalaysiaGazette
















