PASIR GUDANG –Gol kedua Perak FA pada aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) di sini malam tadi memusnahkan harapan Johor Darul Ta’zim 2 (JDT 2) untuk muncul juara di laman sendiri.
Pengendali JDT 2, Josep Ferre menyifatkan gol kedua dalam separuh masa kedua perlawanan tersebut telah meragut semangat kesebelasan skuad kendaliannya itu untuk bangkit pada perlawanan berkenaan.
“Mereka (Perak FA), menjaringkan gol (kemenangan) hasil daripada sepakan percuma susulan kekasaran yang didakwa berlaku.
“Bagaimanapun, kekasaran itu mungkin boleh dipersoalkan kerana ia merupakan kesalahan yang sama berlaku ketika perlawanan dengan Seoul Phoenix sebelum ini.
“Lagi pun, memang sukar ketika berdepan dengan pasukan yang mengamalkan corak permainan bertahan dengan meletakkan sembilan hingga 10 pemain,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan tersebut.
Pada perlawanan itu, Perak FA berjaya merobek gawang JDT 2 pada minit ke-22 meneruk kapten, Kamal Arif Azrai Shaimar, namun jaringan tersebut dibatalkan pengadil Mohamad Haziq Iqmal Ayazi kerana Kamal Arif Azrai didapati ofsaid terlebih dahulu.
Bagaimanapun, penyerang Perak FA, Muhammad Rafieq Al-Amzar Zulkifli mengejutkan JDT 2 menerusi jaringan pada minit ke-32 sebelum pemain import, Celso Jose menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-37.
Tersentak dengan gol berkenaan, kesebelasan JDT 2 mula bangkit mengatur asakan ke gawang Perak FA bagi menjaringkan gol penyamaan.
Sebaik permainan bersambung pada babak kedua, Perak FA sekali lagi merobek gawang JDT 2 pada minit ke-46 menerusi jaringan Muhammad Fadhil Mohammad Azmi yang sekali gus merupakan gol kemenangan skuad Kejor Yob Kejor itu.
Sementara itu, Ferre mahu kesebelasan JDT 2 kembali bangkit menjelang aksi berdepan Machan FC pada Jumaat ini.
Katanya, perlawanan itu penting dan kesebelasan pemain perlu mempamerkan aksi terbaik untuk meraih kemenangan dan meraih tiga mata berharga.
“Perlawanan menentang Machan FC ini perlu dimenangi dan pemain perlu ingat, mereka bukan lagi bermain dalam liga yang dibarisi pemain bawah 23 tahun, tetapi turut dibarisi pemain senior dan juga pemain import.
“Oleh itu, mereka perlu beraksi di tahap tertinggi bagi memastikan kejayaan pasukan,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















