JOHOR BAHRU – Warisan dan kebudayaan masyarakat India di Johor dijangka menjadi antara tarikan utama Tahun Melawat Johor 2026 (TMJ 2026) yang menyasarkan kehadiran 12 juta pelancong dengan potensi hasil lebih RM42 bilion.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K Raven Kumar berkata, penyertaan komuniti India dalam mempamerkan tradisi, seni serta lokasi bersejarah akan memperkayakan lagi produk pelancongan negeri.
“Keunikan masyarakat berbilang kaum khususnya melalui budaya dan warisan akan menjadi daya tarikan utama buat pelancong dari dalam dan luar negara.
“Kalau kita lihat, mana-mana negara pun pelancong datang untuk menyaksikan kebudayaan masyarakat setempat. Johor beruntung kerana memiliki kepelbagaian etnik yang boleh diketengahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan ulang tahun ke-40 Persatuan Malayalee Johor Bahru (JBMA) di sini semalam.
Antara lokasi warisan masyarakat India yang boleh dijadikan produk pelancongan Little India di Jalan Ungku Puan di sini yang menjadi pusat ekonomi dan budaya.
Selain itu Kuil Sri Raja Mariamman yang dibina pada 1911, kuil Hindu tertua di bandar raya ini.
Turut menjadi tumpuan ialah Kuil Arulmigu Sri Rajakaliamman Glass Temple, kuil kaca pertama di dunia yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Justeru, Raven mahu komuniti India memperagakan kebudayaan mereka sebagai sebahagian tarikan TMJ 2026.
Raven menegaskan, semua komuniti tanpa mengira bangsa perlu memainkan peranan dalam memastikan TMJ 2026 mencapai sasaran besar kerajaan negeri.
Katanya, pelbagai acara berteraskan kebudayaan India termasuk perayaan, seni tarian dan muzik mampu menarik lebih ramai pelancong asing.
Pada majlis sama, beliau turut menyumbang RM50,000 kepada JBMA bagi membantu persatuan itu melaksanakan program masyarakat, khususnya dalam usaha melestarikan kebudayaan Malayalee.
Sementara itu, Naib Presiden JBMA, Dave A Madhavan menyambut baik saranan kerajaan negeri yang memberi ruang kepada masyarakat India menonjolkan tradisi mereka.
“Bagi pihak JBMA, kami berterima kasih kerana kerajaan negeri sentiasa prihatin. YB sendiri tertarik dengan persembahan tarian Malayalee sebentar tadi dan menyifatkan ia boleh dijadikan aset sempena TMJ 2026,” katanya.
Dengan sokongan kerajaan negeri dan penyertaan aktif komuniti India katanya, Johor diyakini mampu menonjolkan imej negeri berbilang budaya serta memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama rantau ini.- MalaysiaGazette
















