KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini menerima 14 unit Unmanned Aerial Vehicle (UAV) Drone, tujuh bot penyelamat serta dua Road Cleaning Truck (RCT) yang kini dalam proses tender di bawah bantuan keselamatan rasmi Jepun (Official Security Assistance).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pakej bernilai 400 juta yen bersamaan dengan RM12.63 juta itu penting bagi meningkatkan keupayaan pertahanan negara khususnya dalam aspek pemantauan, operasi keselamatan dan bantuan bencana.
“Dengan peruntukan sebanyak 400 juta yen (RM12.63 juta), ATM akan menerima sebanyak 14 UAV dan tujuh bot penyelamat. Selain itu, dua road cleaning trucks kini dalam peringkat tender dan akan melengkapkan pakej bantuan ini setelah siap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan UAV di Auditorium Binary, Kompleks Haigate ATM di sini hari ini.
Daripada jumlah UAV yang diterima, enam unit diserahkan kepada Tentera Darat Malaysia (TDM), enam lagi kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) manakala dua unit digunakan oleh Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan di bawah Markas ATM.
Kesemua UAV berkenaan mempunyai keupayaan untuk terus beroperasi siang dan malam.
Menurutnya, penerimaan aset itu bukan sekadar pemindahan peralatan ketenteraan sebaliknya mencerminkan solidariti dan hubungan strategik antara Malaysia dan Jepun.
“Majlis ini lebih daripada sekadar pemindahan peralatan. Ia adalah bukti kepercayaan, solidariti dan visi bersama antara dua negara.
“Penyerahan ini akan memperkukuh kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia, sekali gus menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama di rantau ini,” tambahnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa setiap negara di rantau ini perlu memperkukuh keupayaan pertahanan masing-masing bagi memastikan kawasan terus aman dan stabil.
Malaysia sebelum ini pernah menerima bantuan daripada negara lain termasuk Jerman, Australia dan Amerika Syarikat (AS).
“Dengan Jerman, kita ada program Enhance & Enable. Australia pula menyalurkan bantuan melalui program infrastruktur, manakala AS pernah menyalurkan aset radar.
“Semua ini menggambarkan keinginan negara-negara untuk melihat rantau ini sentiasa bersedia menghadapi cabaran,” ujarnya.
Majlis penyerahan turut dihadiri Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki; Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan yang mewakili Panglima Angkatan Tentera; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Ts. Shamsuddin Ludin serta Timbalan Panglima Tentera Udara, Datuk Nur Hafis Abdul Karim TUDM. – MalaysiaGazette
















