KUALA LUMPUR – Cadangan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) supaya pelesenan mandatori dilaksanakan terhadap setiap pengawal keselamatan individu di negara ini perlu dikaji serta diperhalusi secara menyeluruh sebelum diputuskan.
Timbalan Presiden Pertubuhan Pembangunan Industri Keselamatan Nasional (PPIKN), Khirudin Tajudin berpandangan, isu itu bukan sahaja menyentuh kepentingan syarikat keselamatan malah turut melibatkan pekerja, kesatuan sekerja serta kerajaan sebagai penggubal dasar.
Justeru, katanya, pelaksanaannya tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa tanpa mekanisme dan hala tuju yang jelas.
“Persoalan utamanya ialah adakah langkah ini benar-benar praktikal, bagaimana mekanismenya akan dilaksanakan, dan apakah manfaat yang bakal diperoleh industri serta pekerja.
“Kita tahu pada masa ini, proses pengambilan serta tapisan keselamatan untuk pengawal sudah dikawal selia oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Jadi, cadangan pelesenan mandatori wajar diperhalusi sama ada ia benar-benar menambah nilai atau hanya meningkatkan kos operasi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Khirudin mengulas gesaan PIKM supaya pelaksanaan pelesenan mandatori bagi setiap pengawal keselamatan individu di Malaysia dan meletakkan agenda ini sebagai transformasi industri keselamatan swasta.
Kata PKIM, pada masa ini, hanya syarikat keselamatan diwajibkan lesen di bawah Akta Agensi Persendirian 1971 manakala pengawal keselamatan individu tidak mempunyai pengiktirafan khusus.
Dalam pada itu, kata Khirudin lagi, langkah yang lebih berkesan mungkin memberi penekanan kepada akreditasi dan latihan berterusan bagi pengawal keselamatan.
Pendekatan itu mampu meningkatkan tahap profesionalisme dan mutu perkhidmatan tanpa menambah beban kepada pekerja mahupun majikan.
“Antara isu paling mendesak dalam industri ketika ini ialah kebajikan pengawal, termasuk pembayaran gaji minimum yang konsisten. Jadi, tumpuan sepatutnya diberikan kepada perkara asas ini terlebih dahulu sebelum memperkenalkan mekanisme pelesenan baharu,” ujarnya.
Khirudin yang juga ahli berbayar PIKM serta pakar industri keselamatan diiktiraf Kementerian Sumber Manusia berkata, sebarang cadangan besar untuk mentransformasi industri keselamatan swasta perlu digerakkan melalui pendekatan kluster melibatkan KDN, persatuan industri dan kesatuan sekerja.
Dengan cara itu, semua pihak berkepentingan dapat duduk semeja membincangkan perancangan secara inklusif dan memastikan apa sahaja dasar baharu benar-benar memberi nilai kepada industri keselamatan negara. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
PIKM mahu pelesenan mandatori individu setiap pengawal keselamatan dilaksanakan
















