ISKANDAR PUTERI – Lalai dan hilang tumpuan didakwa menjadi punca kekalahan Sabah FC 0-8 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.
Pengendali Sabah FC, Jean-Paul de Marigny berkata, kealpaan pemainnya jelas dilihat dengan membiarkan JDT menguasai bahagian tengah sekali gus menjadi punca utama hilang tumpuan.
Malah menurutnya, kesebelasan skuad Harimau Selatan itu juga dilihat memiliki kualiti tersendiri apabila berjaya mengekalkan struktur permainan mantap di sepanjang perlawanan dengan mendominasi bahagian tengah.
“Kalau kita biarkan pihak lawan mendominasi kawasan tengah, ia akan jadi lebih sukar. Mereka mudah memberi tekanan dan pemain kita akan hilang arah.
“Situasi ini berlaku kepada kami di sepanjang perlawanan sehingga menjejaskan momentum permainan.
“Lagi pun, dalam bola sepak, bahagian tengah amat penting kerana dari situlah bermula kawalan perlawanan dan sekiranya kita gagal kuasai bahagian tengah, pihak lawan lebih mudah mencipta peluang,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Bagainanpun, Jean-Paul tetap memberikan pujian kepada para pemain yang dilihat telah yang berusaha menyesuaikan diri walaupun berdepan cabaran sengit.
Beliau akui sebagai jurulatih kecewa dengan keputusan tersebut tetapi menganggapnya juga sebagai satu pelajaran.
“Masih banyak baki perlawanan musim ini, jadi kami perlu segera belajar, kekal fokus dan bersedia hadapi lawan berikutnya,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















