KUALA LUMPUR – Pelabur asing menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia pada minggu lalu, mengekalkan belian bersih dua minggu berturut-turut sebanyak RM492.1 juta.
MBSB Research berkata, ia merupakan minggu dagangan yang pendek kerana pasaran ditutup pada hari Isnin dan Selasa sempena Hari Malaysia.
Pelabur asing adalah pembeli bersih pada dua daripada tiga hari dagangan minggu lepas, dengan hari Rabu menyaksikan aktiviti belian bersih tertinggi pada RM348.69 juta.
Ini diikuti dengan hari Jumaat (RM205.30 juta) manakala satu-satunya aliran keluar berlaku pada hari Selasa (RM61.9 juta).
Tiga sektor teratas yang mencatat aliran masuk asing bersih minggu lepas ialah pengangkutan & logistik (RM131.8 juta), produk & perkhidmatan perindustrian (RM126.9 juta) dan teknologi (RM117.1 juta).
Hanya dua sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih asing iaitu perkhidmatan kewangan (RM154.7 juta), dan penjagaan kesihatan (RM38.1 juta).
Firma penyelidikan itu berkata, institusi pelabur tempatan melanjutkan jualan bersih dua minggu berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM337.6 juta.
Pelabur runcit juga melanjutkan jualan bersih dua minggu berturut-turut, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM159.5 juta.
Purata volum dagangan harian (ADTV) meningkat merentas semua kumpulan pelabur minggu lepas.
Pelabur asing mencatatkan peningkatan mendadak sebanyak +88.3%, manakala pelabur runcit dan institusi tempatan masing-masing mencatatkan pengembangan sebanyak +21.2% dan +19.0%. – MalaysiaGazette















