KUALA LUMPUR – Pemandu yang juga ‘ulat’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang terbabit dengan dakwaan kes menipu pelancong asing berjaya ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semalam.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang turut memaklumkan, kenderaan jenis Perodua Axia milik `ulat’ berkenaan turut disita.
Terdahulu, beliau telah mengarahkan JPJ untuk mengesan pemandu berkenaan selepas kisah seorang pelancong asing ditipu oleh `ulat’ KLIA dengan tawaran tambang asal RM60 tetapi dipaksa membayar RM800 tular di media sosial.
“Semalam, selepas operasi samaran di KLIA, JPJ telah berjaya menahan kenderaan tersebut bersama pemandunya. Kereta tersebut telah disita serta-merta dan kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan selanjutnya.
“Syabas dan terima kasih atas tindakan pantas JPJ!
“MOT tidak akan berkompromi dengan “ulat-ulat” yang merosakkan imej negara,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, tular video di media sosial berhubung kejadian yang menimpa dua pelancong wanita warga China yang didakwa menjadi mangsa pemandu kereta haram apabila bukan sahaja ditipu tambang lebih 14 kali ganda malah dikurung, dicekik dan ditampar oleh pemandu berkenaan.
Kejadian itu dikatakan berlaku pada 15 September lalu ketika dua wanita China berkenaan berada di KLIA2 untuk menuju ke pusat bandar.
Bagaimanapun, seorang lelaki dikatakan mendekati mereka dan menawarkan tambang RM60 untuk menghantar mereka ke hotel yang terletak di ibu negara.
Menyangkakan tambang itu murah, warga China berkenaan bersetuju dan menaiki kenderaan berkenaan bersama isteri kepada pemandu terbabit.
Namun, setibanya di hotel, pemandu itu dikatakan tidak berhenti sebaliknya terus memandu ke kawasan gelap dan sunyi sebelum meminta tambang sebanyak RM836. – MalaysiaGazette
















