KUALA LUMPUR – Satuk kertas siasatan telah dibuka berhubung insiden seorang pemandu lori dipukul dengan sebatang kayu berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil arah utara pada Sabtu lalu
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Mohd Akmalrizal Radzi berkata, siasatan dijalankan selepas video pergaduhan tersebut tular di media sosial.
“Kejadian berlaku sekitar 5.15 petang apabila mangsa membunyikan hon ke arah sebuah kereta yang keluar secara mengejut dari susur masuk ke lorongnya.
“Pemandu lori terbabit kemudian mengekori kereta berkenaan hingga ke kawasan berhampiran R&R Dengkil sebelum turun untuk bersemuka dengan suspek.
“Suspek bagaimanapun bertindak mengambil sebatang kayu dari dalam keretanya lalu memukul lengan kiri mangsa sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Akmalrizal, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman denda atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
“Kami masih lagi sedang mengesan suspek yang terlibat dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” tambahnya.
Mereka yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222. – MalaysiaGazette
















