KUALA LUMPUR – Bekas selebriti dan pempengaruh media sosial, Rafidah Ibrahim diberi tempoh tujuh hari untuk membayar ganti rugi berjumlah RM281,200 kepada ahli perniagaan, Datuk Haris Embong dan syarikatnya, Arisprop Holdings Sdn Bhd.
Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Julai tahun lalu.
Firma guaman mewakili Haris, Izral Partnership memaklumkan notis tuntutan telah dihantar dua kali pertama pada 20 Ogos tahun lalu di Shah Alam dan kedua pada 19 September di Gombak selepas Rafidah menukar peguam.
Jumlah tuntutan merangkumi RM100,000 ganti rugi untuk Haris, RM150,000 untuk syarikat, kos mahkamah RM30,000 serta yuran peruntukan RM1,200.
Haris yang menjalankan perniagaan produk sejuk beku Aris Burger itu memfailkan saman fitnah terhadap Rafidah selepas mendakwa beliau enggan membayar hasil kerja selebriti itu empat tahun lalu.
Dalam penghakiman Mahkamah Tinggi, hakim Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee memutuskan hantaran kedua Rafidah di Facebook sebagai fitnah kerana didapati mendedahkan Haris dan syarikat kepada cemuhan awam.
Hantaran pertama tidak dianggap fitnah kerana tidak secara spesifik merujuk kepada Haris selain mahkamah menolak tuntutan balas Rafidah, termasuk gaji tertunggak dan kos kemudahan.
Sementara itu, Haris dalam kenyataannya telah memberi masa yang mencukupi kepada Rafidah untuk menyelesaikan tuntutan namun sehingga kini tiada bayaran diterima.
“Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya pembayaran tidak dibuat. Tuntutan ini adalah untuk menegakkan hak dan membersihkan imej saya serta syarikat,” tegasnya.
Peguam, Mohd Izral Khairy mengesahkan notis tuntutan tersebut dihantar bagi pihak plaintif dan menegaskan tindakan undang-undang akan diteruskan sekiranya pembayaran tidak diterima dalam tempoh ditetapkan. – MalaysiaGazette
















