Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menunjukkan barangan dan wang kertas yang dirampas, pada sidang media khas berkaitan perkembangan terkini operasi di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 22 SEPTEMBER 2025

PUTRAJAYA – Dua individu berpangkat ‘Datuk’ antara yang dicekup dalam Ops Karen membabitkan penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak hingga menyebabkan kerugian hasil kerajaan yang dianggarkan mencecah RM247 juta dalam tempoh 10 tahun.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, selain itu, empat pengarah syarikat dan dua pengurus turut ditahan dalam operasi berkenaan yang bermula sejak 2 hingga 8 September lepas.

Beliau ketika mendedahkan perkara itu turut mengesahkan modus operandi sindiket licik terbabit beroperasi menggunakan syarikat sah berlesen namun disokong oleh elemen kongsi gelap dan rangkaian syarikat rahsia.

“Syarikat ini bukan syarikat tidak berlesen tetapi syarikat berlesen yang telah menyalahgunakan lesen mereka untuk tujuan penyeludupan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Azam berkata, siasatan yang digerakkan sejak tahun lepas merupakan hasil maklumat awam yang diterima pihak yang kemudiannya dianalisis secara menyeluruh oleh bahagian risikan SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pusat Pencegahan Pengubahan Wang Haram Nasional (NFCC).

Sindiket terbabit turut didapati menjalankan operasi penyeludupan secara licik sehingga menyukarkan pengesanan oleh pihak berkuasa.

“Penyelewengan diesel dilakukan secara sistematik termasuk menggunakan kemudahan logistik seperti tanker dan sokongan daripada jaringan yang beroperasi dalam kawasan strategik seperti Bintulu, Sarawak.

“Kegiatan ini melibatkan pengumpulan minyak termasuk dari pihak nelayan kemudian dipindahkan secara tidak sah untuk dibawa keluar menggunakan laluan tersusun yang mengelakkan pantauan pihak berkuasa,” tambahnya.

Azam turut mengesahkan, siasatan masih berjalan dan beberapa akaun syarikat serta individu terbabit sedang disiasat untuk tempoh sehingga 10 tahun ke belakang bagi mengesan unsur pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

SPRM menjalankan siasatan secara proaktif dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengenal pasti jumlah cukai yang dielak serta subsidi yang disalahguna.

“Kita akan lihat bukan hanya pada kesalahan semasa tetapi juga siasat pemilikan, aliran kewangan dan kegiatan mereka sejak 10 tahun lepas,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu terlibat dan mengesahkan wujudnya penglibatan penjawat awam.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran kerana siasatan sedang dijalankan.

Katanya lagi, operasi terbaharu itu adalah kesinambungan daripada operasi terdahulu  Off Litre yang dijalankan tahun lalu juga di Sarawak.

“Ini bukan tindakan ad-hoc. Siasatan dilakukan secara menyeluruh termasuk mengenal pasti masa dan lokasi operasi, dokumen penting, serta rangkaian logistik mereka,” katanya.

Azam turut mendedahkan beberapa syarikat yang menyokong kegiatan sindiket terbabit adalah syarikat rahsia yang bertindak menyediakan sokongan logistik, perlindungan dan mempermudah aktiviti penyeludupan diesel.

“Syarikat utama ini disokong oleh syarikat-syarikat rahsia. Malah ada unsur perlindungan yang disediakan kepada mereka,” katanya ketika menjawab soalan adakah terdapat penglibatan kongsi gelap.

“Anggaran awal kerugian mencecah RM247 juta namun jumlah itu dijangka meningkat selepas siasatan forensik kewangan selesai.

“Jumlah ini hanyalah permulaan. Dengan tindakan pemulihan dan penalti yang dikenakan, saya percaya kerajaan akan memperoleh semula jumlah yang lebih besar,” jelas Azam.

Beliau turut menegaskan jumlah keseluruhan kerugian negara akibat penyelewengan diesel subsidi boleh mencecah berbilion ringgit, berdasarkan unjuran kehilangan harian yang diumumkan oleh menteri (Datuk Armizan Mohd Ali) sebelum ini.

SPRM menjangkakan tindakan susulan akan diambil ke atas syarikat terlibat termasuk disenarai hitam, pendakwaan di bawah Akta SPRM, Akta Pengubahan Wang Haram dan siasatan oleh KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna) berhubung salah guna subsidi diesel.

“Saya percaya syarikat ini perlu disenarai hitam dan tidak lagi dibenarkan menerima apa-apa bentuk subsidi atau kelulusan daripada kerajaan,” kata Azam.

Media sebelum ini mendedahkan kegiatan sebuah syarikat yang menjadi kartel dalam perniagaan pembekalan bahan api ke seluruh Sarawak dipercayai menyebabkan kerugian puluhan juta ringgit.

Rangkaian sindiket dipercayai membayar wang rasuah kepada ‘orang dalam’ sebagai balasan untuk memperoleh kontrak atau tender pembekalan minyak diesel di negeri tersebut.

Hasil daripada pemberian rasuah itu, sindiket terbabit berjaya memperoleh tender serta kontrak pembekalan diesel komersial kepada salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri.

Sindiket itu dipercayai memonopoli tender berkenaan sejak 10 tahun lalu hingga kini.

Mereka berjaya memenangi tender kerana menawarkan harga minyak diesel lebih rendah berbanding syarikat pengeluar minyak besar lain.

Selain itu, bekalan minyak diesel untuk kerajaan negeri juga dipercayai diseludup dan diseleweng kepada kapal luar pesisir (offshore). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast