KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya Malaysia telah lama menjadi pusat operasi anggota Hamas disifatkan sebagai tuduhan dangkal dan berniat jahat terhadap negara ini.
Menurut pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir, dakwaan itu juga sengaja ditimbulkan disebabkan ketegasan dan kelantangan Malaysia yang berterusan membela Palestin daripada kekejaman rejim Zionis.
Dalam masa sama, ujarnya, tuduhan itu juga bertujuan menidakkan sumbangan Malaysia ke arah keamanan dan perdamaian dunia khususnya dalam konflik yang berlaku di Gaza ketika ini.

“Jika benar Malaysia menjadi tapak operasi Hamas sejak sekian lama, maka tunjukkanlah di mana lokasi tapak latihan atau operasi Hamas itu di negara ini.
“Apabila dinyatakan tapak operasi, maka mesti ada sekumpulan besar anggota Hamas berada di negara ini, maka buktikanlah perkara ini jika dakwaan itu betul.
“Sebab itu bagi saya, selain dangkal dan berniat jahat, kenyataan sebegitu juga sangat melucukan kerana lanngsung tidak berasas,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Salawati ditanya berkenaan dakwaan bekas penganalisis kewangan keganasan di Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Jonathan Schanzer kononnya Malaysia telah lama menjadi pusat operasi anggota Hamas.
Dalam satu hantaran di platform X, Schanzer turut menegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berminat dengan perdamaian.
Kritikan Schanzer tersebut muncul selepas Anwar menegaskan pendirian Malaysia untuk terus menyokong Palestin dan menggesa supaya hubungan dengan Israel diputuskan kerana Gaza terus dihancurkan manakala Tebing Barat dirampas.
Sementara itu, Salawati yang juga pensyarah Pusat Kajian Undang-Undang Antarabangsa & Siyar (CILAS) UKM berpendapat, kenyataan Schanzer tersebut juga bertentangan dengan hakikat yang mana Hamas bukan kumpulan pengganas seperti yang dilabel Israel, AS dan segelintir negara sekutu mereka di Eropah.
Sebaliknya, ujar beliau, Hamas merupakan sebuah kerajaan sah yang dipilih majoriti rakyat Palestin menerusi pilihan raya umum dan diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebuah kerajaan menerusi jalur demokratik, bukannya kerajaan diktator atau kumpulan pengganas.
Sehubungan itu, jelasnya, AS khususnya akan sengaja menimbulkan isu atau masalah dengan negara-negara yang mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat.
“Pada saya juga apa yang cuba dilakukan oleh AS ini adalah permainan negara kuasa besar itu yang kini sedang tersepit selepas banyak negara mula mempertahankan dan mengiktiraf Palestin.
“Malah, di Asia Tenggara sendiri, AS semakin tidak popular selepas banyak negara termasuk Malaysia sendiri semakin cenderung untuk memperkuatkan kerjasama dengan China,” katanya.
Sementara itu, ditanya berkenaan implikasi yang mungkin perlu dihadapi Malaysia susulan tuduhan Schanzer tersebut, Salawati berkata, ia tidak akan memberi apa-apa kesan atau merubah mana-mana dasar antarabangsa melibatkan negara ini.
Sebaliknya, tambah beliau, kesan buruk akan lebih dirasai oleh AS sendiri yang akan dilihat sebagai sebuah negara yang sengaja mencetuskan kontrovesi dan menimbulkan masalah dengan negara yang tidak sealiran dengan mereka. – MalaysiaGazette
















