KUALA LUMPUR – Di tengah-tengah perubahan landskap pekerjaan yang semakin dinamik, aplikasi tempatan baharu, BolehJe muncul sebagai platform digital yang menjanjikan ruang baharu kepada belia, pelajar dan pekerja bebas untuk menjana pendapatan serta menimba pengalaman.
Dibangunkan oleh Exalumen Technologies, BolehJe berfungsi sebagai penghubung antara pencari kerja jangka pendek dengan individu, syarikat dan organisasi yang memerlukan khidmat tenaga kerja secara fleksibel.
Ketua Pegawai Eksekutif Exalumen Technologies, Angeline Barron berkata, apa yang membezakan aplikasi itu ialah ia bukan sekadar menumpukan kepada peluang kerja tetapi turut menggabungkan elemen sukarela dan aktiviti kemasyarakatan menjadikannya sebuah ekosistem lengkap untuk pembangunan diri dan komuniti.
Melalui aplikasi berkenaan, pengguna boleh memilih projek jangka pendek mengikut minat dan kepakaran, mengambil bahagian dalam aktiviti sukarelawan serta menyertai acara yang dianjurkan oleh pelbagai pihak.
“Pada masa yang sama, ia membolehkan syarikat, NGO atau individu menawarkan peluang pekerjaan dan aktiviti kepada masyarakat dengan lebih mudah.
“Bagi memastikan kepercayaan dan keselamatan pengguna, BolehJe turut dilengkapi dengan sistem verifikasi identiti serta pengesahan berlapis, sekali gus melindungi kedua-dua pihak daripada sebarang risiko penipuan,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Tambah beliau, aplikasi itu lahir daripada hasrat untuk memperkasakan anak muda Malaysia dalam menghadapi cabaran ekonomi digital.
“Kami mahu memberi ruang kepada belia, pelajar dan freelancer untuk menentukan cara mereka bekerja dan menjana pendapatan. Pada masa sama, BolehJe juga memudahkan syarikat serta komuniti mendapatkan bakat tempatan dengan cepat dan berkesan,” ujarnya.
Katanya lagi, kejayaan sesebuah syarikat tidak hanya diukur melalui pencapaian kewangan tetapi juga sejauh mana ia mampu memberi kembali kepada masyarakat.
Justeru, pelancaran BolehJe disifatkan sebagai usaha untuk menyokong pertumbuhan ekonomi inklusif di mana setiap lapisan masyarakat diberi peluang menyumbang.
Dalam pada itu, aplikasi yang diperkenalkan kepada umum bersempena sambutan Hari Malaysia baru-baru ini ketika Exalumen berganding bahu dengan syarikat Innovestmy Sdn Bhd diterajui Lee Miew Lan menganjurkan program komuniti bersama anak-anak Lotus Charity Care Centre.

Melalui program itu, mesej kepedulian sosial dan semangat Keluarga Malaysia diangkat seiring dengan pelancaran platform digital tersebut.
Dengan mesra pengguna dan akses mudah melalui telefon pintar, BolehJe diyakini bakal menjadi jambatan baharu yang menghubungkan anak muda dengan peluang pekerjaan serta ruang pembangunan diri. – MalaysiaGazette
















