ADUN Kota Seputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir bercakap pada Program Platform MG bertajuk 'YB Muda, Buat Kerja atau Sekadar Popular' di Dewan FSSR, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Foto MOHD ADZLAN, 29 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Inisiatif BUDI95 yang diperkenalkan kerajaan untuk menyasarkan subsidi petrol RON95 kepada rakyat dilihat tidak menyentuh realiti hidup pesawah di bendang.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, BUDI95 ternyata hanya berasaskan logik pemilik kenderaan dengan julat penyasaran liter subsidi di pam minyak.

“Ia langsung tidak membumi dengan mengambil kira realiti penggunaan petrol dalam kerja sawah dan pertanian seperti kegunaan pam air, mesin rumput, mesin tabur benih, pam baja dan pam racun yang menjadi nadi kelangsungan kerja pesawah pada setiap musim demi kelestarian keterjaminan makanan rakyat dalam negara.

“Sebelum ini, pesawah sudah pun menanggung kesan yang menjerut renteran daripada penarikan subsidi pukal diesel,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kos bagi perkhidmatan mesin padi, mesin membajak, mesin menuai dan segenap urusan logistik realitinya meningkat mendadak yang memberi kesan kepada kenaikan harga input proses penanaman padi.

“Walaupun BUDI95 dilaksana, nasib pesawah tidak berubah dengan kos input pertanian terus meningkat, keuntungan semakin menipis dan akhirnya beban ini jatuh kepada pesawah yang menjadi tulang belakang pengeluaran beras negara.

“Kerajaan sewajarnya mengambil contoh sistem nelayan yang mempunyai kad subsidi minyak khas dengan kuota tertentu, amatlah menghairankan pesawah sebagai pengeluar makanan utama negara tidak diberi ruang yang sama?,” soalnya.

Beliau yang juga merangkap sebagai Koordinator Gerakan Melawan Penindasan Petani (GEMPITA) berkata, pesawah memerlukan skim yang adil, telus dan benar-benar bersasar atas keperluan sebenar.

“Saya cadang kerajaan segera wujudkan Kad Petrol Pesawah, seperti kad subsidi nelayan, tetapi dikeluarkan dan dipantau melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Dengan mekanisme ini, PPK dapat memastikan hanya pesawah berdaftar dan berkelayakan mendapat manfaat, di samping kawalan lebih rapi mengikut musim tanaman.

“Kad ini mestilah membolehkan pesawah membeli petrol bersubsidi bagi peralatan kecil mereka, manakala bagi penggunaan diesel pula, perlu diwujudkan mekanisme khusus untuk penyedia perkhidmatan pertanian termasuk pengusaha mesin padi, traktor, jentolak, jengkaut, lori padi dan lain-lain,” katanya.

Jelasnya, mekanisme ini boleh diselaraskan juga melalui PPK bagi memastikan subsidi diesel sampai kepada kerja sawah dan tidak diseleweng.

“Dengan cara ini, kos operasi dapat diringankan, kadar sewaan jentera lebih terkawal, dan pesawah tidak lagi menanggung kesan penuh daripada kenaikan bahan api.

“Kita tidak menolak reformasi subsidi, tetapi biarlah ia adil dan menyeluruh.

“Subsidi mesti bersasar dan holistik apatah lagi kepada perkara yang jelas bermanfaat terkait dengan pengeluaran makanan dan ‘food security’ negara, bukanlah semata-mata kepada pemilik kenderaan,” katanya.

Katanya, pada ketika ini pesawah dilihat sebagai pejuang barisan hadapan untuk kelestarian rakyat, wajar diberi pengiktirafan dan perlindungan.

“Tanpa keadilan kepada mereka, kedaulatan makanan negara akan terus terancam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast