BUTTERWORTH – Seorang jurujual kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan memperdaya pelanggan dengan mendakwa dia disamun, sedangkan insiden itu dirancangnya sendiri.
Tertuduh, Le Chong Seng, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memperdaya pelanggannya, Teh Hock Kheng, 41, dengan mendakwa dia disamun sedangkan mengetahui tiada kejadian samun berlaku dan laporan polis yang dibuatnya adalah rekaan semata-mata.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di hadapan sebuah pusat jualan kenderaan di Jalan Kampung Gajah, di sini, jam 3.27 petang pada 17 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli manakala tertuduh diwakili peguam, C. Hari Prassaad Rao.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun dalam mitigasi rayuan, peguam tertuduh, C. Hari Prassaad Rao memohon jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tiga anak, menghidap diabetes kronik selain telah direman selama empat hari untuk membantu siasatan pihak polis.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan November depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette pada Sabtu lalu melaporkan suspek direman empat hari selepas dipercayai merancang dan mengupah dua lelaki bagi samun wang tunai lebih RM60,000 dalam milikannya di Jalan Kampung Gajah di sini.
Helah suspek terbongkar selepas polis menahan dua lelaki di Sungai Petani, Kedah yang dikatakan terlibat dalam kes tersebut:
Dua lelaki masing-masing bekerja sebagai pemandu lori dan pengawal keselamatan itu diupah RM3,000 bagi melakukan jenayah tersebut namun tidak menerima bayaran yang dijanjikan.
Siasatan lanjut juga mendapati, suspek itu mengaku telah membelanjakan wang milik pelanggannya bagi kegunaan peribadi. – MalaysiaGazette















