Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyerahkan bantuan kepada mangsa insiden bumbung terbang akibat ribut di PPR Seri Cempaka, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 23 SEPTEMBER 2025

 

KUALA LUMPUR – Tanah Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur bukan berstatus penempatan  Melayu untuk pertanian (MAS) seperti yang didakwa oleh segelintir penduduk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, semakan awal mendapati kawasan berkenaan tidak termasuk dalam kategori MAS, namun perkara itu kini dalam proses perbicaraan di mahkamah untuk diputuskan secara muktamad.

“Setakat apa yang kita dapat tahu itu memang bukan tanah MAS. Itu yang kita tahu tapi sekarang ini semua pembuktian telah diberikan kepada mahkamah untuk ditentukan,” katanya pada sidang media ketika melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, hari ini.

Zaliha berkata demikian mengulas pertanyaan media berhubung kenyataan Persatuan Kebajikan Pemilik Harta Kampung Sungai Baru yang menegaskan tanah di kawasan berkenaan bukan berstatus MAS seperti yang didakwa pelbagai pihak.

Menjawab perkara tersebut, Zaliha berkata, status tanah berkenaan perlu difahami berbeza dengan MAS.

“Itu sebenarnya seperti yang saya pernah sebut sebelum ni tanah Kampung Sungai Baru ini atas tindakan yang kita ambil itu ialah berada di luar kawasan MAS.

“Jadi kalau bukan tanah MAS itu tentu dah ada setakat-sekatan yang berbeza berbanding dengan tanah MAS atau penempatan Melayu untuk pertanian,” jelasnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa bercakap kepada media selepas hadir meninjau dan melawat mangsa insiden bumbung terbang akibat ribut di PPR Seri Cempaka, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 23 SEPTEMBER 2025

Zaliha menambah, kerajaan tetap mengambil berat kepentingan penduduk Melayu dalam pembangunan Kampung Sungai Baru, selari dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya hak dan kepentingan mereka dipelihara.

“Saya yakin seperti mana yang penduduk mahukan, seperti mana yang Tuanku Sultan Selangor selalu sebut juga kepentingan orang Melayu itu mesti dijaga. Itu sudah pastinya kita mengambil perhatian dan mengambil berat tentang perkara ini,” ujarnya.

Ahad lalu, Persatuan Kebajikan Pemilik Harta Kampung Sungai Baru menegaskan tanah di kawasan berkenaan bukan berstatus MAS.

Pengerusinya, Sanita Yunus berkata, perkara itu terbukti melalui perjanjian jual beli antara pemilik rumah dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sejak 1971.

Katanya, rumah yang dibeli mereka juga berstatus pajakan selama 99 tahun dan bukannya hak milik kekal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast