KUALA LUMPUR – MMC Port Holdings Berhad (MMC Ports), pengendali pelabuhan kontena terbesar di Malaysia mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi penyenaraian syarikat tersebut di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.
Selaras dengan penyenaraiannya, tawaran awam permulaan (IPO) MMC Ports akan merangkumi tawaran jualan sehingga 4.3 bilion saham, mewakili sehingga 30.0% daripada modal saham terbitannya yang berjumlah kira-kira 14.2 bilion saham.
Daripada jumlah 4.3 bilion saham tersebut, sebanyak 284.8 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia dan 1.3 juta saham diperuntukkan kepada Pengarah MMC Ports serta pengurusan kanan utama MMC Ports dan subsidiarinya.
Manakala baki sehingga 4.0 bilion saham akan diperuntukkan kepada institusi tempatan dan asing serta pelabur terpilih.
MMC Ports ialah pengendali pelabuhan kontena terbesar di Malaysia serta hab kontena utama negara untuk kargo transshipment (pemindahan) dan gateway (pintu masuk).
Syarikat ini juga menduduki tempat pertama sebagai pengendali pelabuhan milik swasta terbesar di Asia Tenggara, dan kelima di peringkat dunia dalam kalangan pengendali terminal swasta berdasarkan throughput diselaraskan ekuiti pada tahun 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports, Datuk Azman Shah bin Mohd Yusof berkata, setelah berjaya mengukuhkan kedudukan sebagai pengendali pelabuhan terbesar di Malaysia, syarikat kini bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya.
“Ini adalah sebahagian daripada perkembangan semula jadi untuk meningkatkan profil korporat dan memperluaskan keterlihatan dalam kalangan komuniti pelabur dengan meneroka pasaran modal.
“Selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab transshipment global, pelabuhan kami akan memainkan peranan penting yang memerlukan pelaburan berterusan bagi menyokong infrastruktur perdagangan dan logistik negara,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sebagai pengendali empat daripada lima pelabuhan terbesar di Malaysia dari segi kapasiti kontena pada 2024, MMC Ports sedang giat meluaskan kapasiti pengendalian kontena dan kargo konvensional serta meningkatkan kecekapan operasi melalui pendigitalan dan automasi bagi memenuhi keperluan yang semakin meningkat di Selat Melaka.
Selain itu, MMC Ports turut meneroka peluang pertumbuhan tidak organik melalui usaha strategik dan kerjasama bagi memanfaatkan peningkatan perdagangan global serta peluang daripada pemindahan aktiviti pembuatan, pembangunan hab pengedaran serantau dan penstrukturan semula rantaian bekalan global.
CIMB Investment Bank Berhad is the principal adviser, joint global coordinator, joint bookrunner, sole
managing underwriter and joint underwriter for this IPO exercise.
managing underwriter and joint underwriter for this IPO exercise.
CIMB Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penyelaras global bersama, bookrunner bersama, pengurus tunggal taja jamin dan taja jamin bersama bagi IPO ini.
Hongkong and Shanghai Banking Corporation Limited, Cawangan Singapura pula bertindak sebagai penyelaras global dan penerima tempahan bersama.
Selain itu, AmInvestment Bank Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd, CLSA Limited dan CLSA Securities Malaysia Sdn Bhd, Jefferies Singapore Limited, Kenanga Investment Bank Berhad, Maybank Investment Bank Berhad serta RHB Investment Bank Berhad adalah penerima tempahan bersama. – MalaysiaGazette
















