Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh.

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhammad Akmal Salleh menolak pelawaan Dewan Pemuda Pas untuk bersama-sama dalam Himpunan Mega Tolak URA (Akta Pembaharuan Semula Bandar) yang dijadual pada 4 Oktober depan.

Menerusi satu video yang dimuat naik di Facebooknya, Dr Muhammad Akmal sebaliknya mengajak Pemuda Pas untuk membuat rundingan meja bulat bagi mencari solusi terbaik untuk isu ini.

“Pas ada cadangan dan UMNO pun ada cadangan, kita rangkumkan cadangan-cadangan ini dan serahkan kepada pihak kerajaan.

“Jika kerajaan menolak cadangan ini, saya berikan komitmen untuk sama-sama turun membantah URA ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Barisan Nasional ada menganjurkan forum bertajuk ‘Urbaninasi dan URA: Survival Melayu Bandar’ bertempat di Bangunan UMNO yang berlangsung hari ini.

Forum ini dilihat sebagai usaha untuk mencari solusi bagaimana untuk menangani isu URA.

“UMNO menerusi kenyataan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan di Parlimen sebelum ini telah menyatakan dengan jelas bahawa kita tidak sokong URA ini.

“Alhamdulillah, UMNO pun sudah melantik Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Pengerusi Jawatankuasa yang bertujuan untuk kita lihat apakah cadangan yang telah diberikan,” katanya.

Beliau turut menekankan politik adalah untuk demi kebaikan rakyat.

“Daripada kita duduk berhimpun tapi tiada solusi, ia akan mendatangkan keburukan kepada rakyat.

“Kalau kerajaan tak nak buat cadangan-cadangan kita, barulah kita turun bersama membantah URA ini,” katanya.

Terdahulu, Ketua penerangan Dewan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, akan mengundang parti komponen kerajaan termasuk UMNO untuk menyertai Himpunan Mega Tolak URA.

Undangan itu adalah kerana pemimpin UMNO dilihat selari dengan pihaknya dalam menyatakan bantahan terhadap akta yang dibawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast