PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk parti-parti tempatan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) di Sabah.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini, pihaknya sudah mewujudkan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) yang dipanggil BNPH Plus.
“Kita sebut bahawa BNPH Plus, ertinya kita bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang bersetuju dengan prinsip parti kita.
“Ia juga bagi mengelakkan pertindahan kawasan-kawasan yang kebolehmenangan itu tinggi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, gabungan parti dalam kerajaan MADANI khususnya BN dan PH perlu disertai dengan kerjasama erat antara parti peringkat pusat dan negeri bagi menghadapi PRN17 di Sabah.
Presiden UMNO itu berkata, BN tidak bercadang untuk bergerak secara bersendirian dalam menghadapi pilihan raya negeri itu.
Menurut Ahmad Zahid lagi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak memerlukan BN PH Plus dalam mendepani pilihan raya di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“GRS kita telah muktamadkan kerana mereka yakin mereka menang banyak, jadi mereka tidak memerlukan BN. Kita ucapkan selamat berjaya kepada mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















