Penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo hadir untuk mendengar keputusan kes hasutan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 24 SEPTEMBER 2025 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Penulis blog kontroversi, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, bakal tampil memberi keterangan sendiri ketika prosiding bela diri terhadapnya bermula pada 4 November ini di Mahkamah Sesyen di sini.

Peguam bela, Muhammad Rafique Rashid Ali memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya memilih untuk menjadi saksi tunggal pihak pembelaan selepas diperintahkan membela diri atas satu pertuduhan menghasut.

Hakim Norma Ismail membuat keputusan itu selepas menilai keseluruhan keterangan sembilan saksi pendakwaan sejak perbicaraan bermula Oktober tahun lalu.

Beliau mendapati pihak pendakwaan, yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman, berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Papagomo sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerbitkan kenyataan menghasut di platform media sosial X (dahulunya Twitter) pada 29 April 2024, kira-kira jam 12 tengah hari.

Kenyataan tersebut dikaitkan dengan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn Bhd yang ketika itu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Pertuduhan dibuat mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 4 November depan sebagai tarikh bagi Papagomo membela diri bagi pertuduhan ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast