KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, keputusan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. melibatkan Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai kesan mengikat dalam kes saman sivil yang difailkan syarikat itu terhadap beliau.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah, piawaian dalam kedua-dua kes itu berbeza kerana dalam kes jenayah, individu mesti membuktikan pembelaan melampaui tahap keraguan munasabah.
Menurut beliau, sebaliknya dalam kes sivil, pembuktian saman berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Oleh yang demikian, hujah Muhammad Shafee, dapatan dalam kes jenayah Najib berkaitan penyelewengan dana SRC Intenational, tidak semestinya mempunyai kaitan dengan kes saman sivil yang dihadapinya.
Mahkamah sedang mendengar penghujahan kes saman SRC International terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil.
Sebelum ini, pihak defendan menghujahkan, tiada bukti yang mengaitkan Najib terhadap dakwaan penyalahgunaan dana SRC International, sebaliknya perbuatan itu hasil konspirasi pengarah-pengarahnya.
Pada prosiding lalu, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee berhujah, jika wujud konspirasi, ia di antara ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil yang dibantu oleh pengarah lain tanpa membabitkan bekas Perdana Menteri.
Hujah beliau, Jho Low mempunyai agendanya sendiri dan memanfaatkan bukan sahaja SRC International, malah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mengaut kekayaan peribadi.
“Dia mempunyai ejen seperti Nik Faisal dalam SRC untuk melaksanakannya. Ia dilakukan tanpa penglibatan Najib kerana kehadiran bekas Perdana Menteri akan mengekang tindakan mereka,” katanya.
“Mereka tidak memerlukan pembabitan Najib kerana sudah tentu beliau akan menegaskan soal ketelusan sekiranya menyedari agenda mereka (sebagaimana beliau kemudian menyokong siasatan apabila isu ini terbongkar),” hujah peguam.
SRC International, di bawah pengurusan baharu memfailkan saman itu pada Mei 2021, atas dakwaan Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.
Plaintif juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib adalah bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami berjumlah RM42 juta.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok. – MalaysiaGazette
















