JOHOR BAHRU – Johor mencatat sejarah baharu apabila syarikat teknologi gergasi dunia, NVIDIA bersama-sama YTL Corporation, memilih negeri ini sebagai satu daripada lima NVIDIA Cloud Partners.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai bukti keyakinan global terhadap keupayaan Johor membangunkan ekosistem digital bertaraf dunia serta potensinya sebagai peneraju transformasi digital rantau ASEAN.
Menurut beliau, kekuatan Johor turut diperkukuh melalui kerangka Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang menggabungkan kelebihan kedua-dua wilayah, sekali gus menjadikannya pintu masuk strategik ekosistem digital dan kecerdasan buatan (AI) serantau.
“Kerjasama YTL Power–NVIDIA bernilai RM20.6 bilion yang diumumkan di Kulai pada Disember lalu telah meletakkan asas kepada pembangunan infrastruktur AI (kecerdasan buatan) paling canggih di Malaysia.
“Projek ini bukan sahaja melahirkan Large Language Model (LLM) pertama negara, malah mewujudkan ribuan peluang pekerjaan berteknologi tinggi” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Menurut Onn Hafiz, perkembangan itu mengukuhkan kedudukan Johor sebagai ASEAN AI Centre of Excellence, sekaligus membuktikan negeri ini mampu memimpin anjakan teknologi serantau dengan visi jelas dan strategi mampan.
Beliau optimis kerjasama tersebut akan terus diperluas melalui pembangunan model AI pelbagai bahasa, penubuhan testbed bersama-sama dalam JS-SEZ serta penyediaan saluran bakat tempatan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi digital.
“Langkah strategik ini diyakini akan memacu Johor muncul sebagai hab kecerdasan buatan dan digital terkemuka ASEAN,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















