Ho Chi Yang

KUALA LUMPUR – DAPSY mendakwa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh tunduk terhadap naratif yang dibawa Pas dalam menentang Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB).

Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan Ho Chi Yang menyifatkan Akmal sebagai talam dua muka kerana tindakan dan kenyataan beliau berhubung RUU tersebut bertentangan.

“Akmal sebelum ini mengumumkan bahawa Pemuda UMNO tidak akan menyertai perhimpunan anjuran PAS untuk menentang RUU tersebut.

“Namun pada masa yang sama pula memberi amaran bahawa Ketua Pemuda UMNO adalah bersedia bekerjasama dengan PAS untuk membantah akta tersebut sekiranya kerajaan tidak menerima cadangannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah ADUN Tanah Rata itu, dalam interaksi di media sosial dengan Timbalan Ketua Pemuda Pas, Akmal menggelarkan Mohd Hafez Sabri sebagai ‘saudara seperjuangan’ dan menyatakan kesediaan untuk sama-sama menentang RUU PSB.

Menurut Chi Yang, ini membuktikan Akmal dan Pemuda Pas berpakat untuk memainkan sandiwara politik demi meraih modal politik murahan.

“Pendirian Akmal terhadap isu RUU PSB sebenarnya hanya menuruti naratif PAS yang mengeksploitasi isu perkauman, sengaja menimbulkan rasa takut dan kebencian, malah mengisyaratkan seolah-olah kerajaan mempunyai agenda tersembunyi untuk “mengancam hak perumahan kaum Melayu”,” katanya lagi.

Chi Yang menambah, sebagai seorang pemimpin muda, Akmal sepatutnya menunjukkan politik yang matang, rasional dan konstruktif namun malangnya beliau memilih untuk menumpang sentimen sempit Pas serta menjadikan dasar awam sebagai alat perpecahan kaum serta politik ketakutan.

Tegas beliau, sekiranya terdapat kelemahan dalam RUU PSB, ia wajar diperbaiki melalui perbahasan di Parlimen dan dialog bersama rakyat.

Dengan itu, DAPSY mendesak Akmal agar berhenti bermain politik bermuka dua dan segera menjelaskan pendirian sebenar – sama ada mahu memperjuangkan kepentingan rakyat dengan konstruktif atau terus bersekongkol dengan PAS dan menjerumuskan Malaysia ke dalam kancah perpecahan yang lebih parah. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast