SPRM menahan reman 12 individu termasuk tujuh pegawai terlibat sindiket counter setting di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan reman 12 individu termasuk tujuh pegawai penguat kuasa di pusat pemeriksaan pintu keluar dan masuk Terminal Feri Pasir Gudang, Terminal Feri Muar serta Terminal Feri Melaka kerana disyaki terlibat rasuah membabitkan sindiket counter setting.

Sindiket tersebut berperanan untuk memudahkan urusan kemasukan warganegara Indonesia ke negara ini.

Majistret Suhaili Sapun membenarkan dua suspek direman selama enam hari sehingga 29 September ini manakala 10 suspek lagi direman selama lima hari sehingga 28 September ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen di sini pagi tadi.

Menurut sumber, semua suspek melibatkan 10 lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an telah ditahan di sekitar Johor dan Pulau Pinang semalam.

“Berdasarkan siasatan awal, kesemua pegawai penguat kuasa berkenaan dipercayai menerima bayaran rasuah lebih RM490,000 daripada ejen serta runner yang turut ditahan dalam operasi ini.

“Mereka dipercayai terlibat dengan sindiket membawa masuk warga asing menerusi modus operandi counter setting di pintu masuk laut dari tahun 2024 hingga awal tahun 2025,” katanya.

Sumber berkata, susulan tangkapan itu juga, SPRM turut merampas dan menyita pelbagai barangan seperti wang tunai kira-kira RM50,000, mata wang asing IDR71,000,000, kereta jenis Toyota Vellfire bernilai kira-kira RM115,000 serta motosikal jenis Italjet Dragster bernilai kira-kira RM30,000.

SPRM juga telah membuat permohonan bagi membekukan 25 akaun perbankan milik 13 individu melibatkan nilai RM1.2 juta.

Semalam, SPRM Johor kerjasama dengan Bahagian Perisikan SPRM menjalankan operasi di Johor dan Pulau Pinang menerusi Op Setting.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Sekyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, dua lagi suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast