Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Tiga masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin diminta untuk melaksanakan solat hajat esok.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, solat hajat itu akan diadakan selepas solat Jumaat bagi menyatakan solidariti serta memohon pertolongan daripada Allah SWT agar keselamatan para sukarelawan dan kelancaran misi Sumud Global Flotilla (SGF) sentiasa dipelihara.

Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau menyeru semua umat Islam di negara ini agar bersama-sama berdoa agar misi kemanusiaan ini dipermudahkan.

“Sama-sama berdoa agar para sukarelawan dilindungi serta diberi kekuatan dan kesihatan yang baik.

“Semoga usaha murni ini mendapat rahmat dan pertolongan Allaj SWT,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im menzahirkan harapan agar Malaysia sentiasa diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada usaha kemanusiaan sejagat dan doa daripada seluruh rakyat menjadi sebab kejayaan misi tersebut.

Media sebelum ini melaporkan, beberapa bot peserta misi GSF yang kini dalam pelayaran memasuki zon kuning ke Gaza diserang oleh dron Israel.

Insiden itu dilaporkan berlaku susulan ugutan berterusan dan penyebaran maklumat palsu Israel bagi merosakkan imej serta membahayakan nyawa lebih 500 sukarelawan awam yang membawa bantuan ke Gaza menerusi misi tersebut.

Bagaimanapun, GSF dalam kenyataan memaklumkan, misi itu tetap diteruskan walaupun selepas kapal dinaiki sukarelawan berkenaan diserang Israel menerusi beberapa taktik termasuk gangguan komunikasi.

Tambah GSF, serangan itu tidak akan menggugat misi kemanusiaan dan usaha menembusi sekatan rejim Zionis itu untuk sampai ke Gaza. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast